40 peratus anggota Bomba terima dos penggalak vaksin

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Sebanyak 40 peratus daripada 1,245 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sudah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Pengarah JBPM Kelantan, Zainal @ Jainal Madasin berkata, suntikan dos penggalak diberi keutamaan khususnya mereka yang terbabit dalam tugasan pengurusan bencana banjir.

Katanya, penerimaan suntikan dos penggalak dalam kalangan anggota Bomba diterima baik dan tiada laporan menunjukkan ada antara mereka yang menolak.

- Advertisement -

“Pemberian dos penggalak penting kepada kakitangan JBPM terutamanya mereka yang terbabit dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa yang terlibat dengan bencana dan sebagainya.

“Anggota Bomba merupakan petugas barisan hadapan yang terbabit dalam operasi penyelamat diberi keutamaan untuk suntikan dos penggalak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pemadam api kepada penduduk pada program 1 rumah 1 alat pemadam api (1RAPI) di Dewan Perpaduan Kawasan Rukun Tetangga, Lubol Stol hari ini.

Turut hadir Adun Gual Periuk, Dato’ Mohamad Awang dan pimpinan tempatan.

Zainal juga berkata, anggota masyarakat diharap tidak leka dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan jika berlaku banjir memandangkan keadaan cuaca di Pantai Timur tidak menentu.

Kata beliau kebiasaannya Kelantan menerima gelombang kedua atau ketiga banjir.

“Bagaimanapun, kita mengharapkan keadaan terus baik tanpa banjir, namun pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Anggota Bomba sentiasa komited dalam memberi khidmat terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya pemantauan 24 jam akan dilakukan di kawasan yang sering berlaku banjir. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -