Usah didendang air mata PWTC

- Advertisement -

TUAN Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) menegaskan bahawa PAS teguh berpegang dengan persefahaman yang dicapai dalam Muafakat Nasional (MN) untuk menyatukan umat Islam Melayu dari pelbagai parti politik dan badan bukan-kerajaan atau individu. Penegasan ini adalah jawapan tuntas mengapa PAS memilih Perikatan Nasional (PN), namun tidak menolak Muafakat Nasional.

- Advertisement -

Menyatukan umat Melayu Islam bukan kerja mudah. Ia amat sukar terutama dalam mengimbangi hasutan musuh, keangkuhan sahabat dan keghairahan sebahagian darinya mencapai matlamat dan cita-cita peribadi. Selagi matlamat dan tujuan tidak disatukan, selagi itulah ia akan menjadi duri dalam daging usaha besar itu.

Penubuhan Muafakat Nasional berjaya menyekat Pakatan Harapan (PH) yang rakus berkuasa hingga merugikan kuasa Islam dan umat Melayu. Dengan dominasi DAP, PH seakan kuasa luar yang merobek kedaulatan umat Islam dan ketuanan bangsa di negara kita. Atas kesedaran itu, Muafakat Nasional dilancarkan bagi mencapai tujuan dan harapan besar. Ia dibina di saat PAS kekal sebagai pembangkang dalam negara dan Umno mula merasai kesengsaraan menjadi pembangkang. 

Kesusahan biasanya menyatukan manusia untuk berjuang. Bunga penyatuan itu mula berbuah dengan himpunan Muafakat Nasional di PWTC yang melahirkan secara rasmi piagam bersama. PAS membuktikan kesetiaan dengan memberi sokongan penuh kepada BN dalam tujuh PRK yang berlaku. 

Tiada satu pun kerusi dituntut PAS walaupun secara adab persahabatan wajar bagi Umno mempertimbangkan ruang untuk PAS bertanding atas dasar pengorbanan dan kesetiaan dalam penyatuan. Terdengar desas desus harapan itu dalam PRK di Tanjong Malim, namun berlalu begitu sahaja.

Langkah permulaan penyatuan itu tidak perlu menunggu lama apabila BERSATU dan beberapa MP dari PH menyambut seruan penyatuan ini dan menjatuhkan kerajaan ‘hancing’ 22 bulan. Rakyat bagai terlepas dari bencana angkara kesilapan termakan janji palsu PH. 

Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional dilihat boleh bersama dengan BERSATU atas tujuan menyekat kemusnahan negara. Domino itu menjatuhkan satu persatu Kerajaan Negeri PH selepas Persekutuan. Kedah, Perak, Johor dan Melaka. Satu dipimpin PAS, dua dipimpin oleh Umno dan satu oleh BERSATU. Ia dilihat sangat harmoni. 

Belum sempat lama, langkah menukar Menteri Besar berlaku di Perak dan berterusan di peringkat Persekutuan menyebabkan penyatuan menjadi goyah. PRN Sabah ada kisahnya yang tersendiri. Kemuncaknya apabila PAS didesak memilih Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional dalam PRN Melaka. Penegasan Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa Muafakat Nasional bermatlamat menyatukan ummah. Bukan hanya Umno dan PAS.

Kenyataan TGHH disambut Timbalan Presiden Umno, Tok Mat Hasan. Katanya, memaksa Umno menerima BERSATU bercanggah dengan piagam MN. Beliau juga berkata bahawa Umno tidak mengajak PKR dan PAN menyertai MN untuk menjaga hati PAS. Satu kenyataan yang mengelirukan kerana tidak pernah temui kenyataan pimpinan PAS melarang PKR atau PAN menyertai MN.

Seakan ada pihak yang tidak memahami piagam Muafakat Nasional. Apakah ia gabungan semua atau hanya Umno dan PAS? Jika hanya Umno dan PAS, bagaimana pula terbentuk Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini? Apakah ia hanya peluang menyambung nyawa untuk kembali berkuasa?

Jika itu tujuannya, penyatuan yang diharap seolah-olah palsu dan berisiko tidak kekal lama. Hargailah setidak-tidaknya manik mutiara jernih linangan air mata di PWTC yang suci mahukan penyatuan ini, bukan menjadikannya dendangan politik semata.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 6/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000122032873/posts/7315699795110682/

- Advertisement -