Teliti punca doktor letak jawatan

Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Che Abdullah Mat Nawi
- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, meminta kerajaan meneliti tindakan doktor meletakkan jawatan mempunyai kaitan dengan ekosistem di hospital kerajaan yang tidak mendorong mereka untuk kekal lama.

Menurutnya, ini berikutan sejak tahun 2017 hingga Jun lalu, hampir 1,500 doktor meletakkan jawatan.

- Advertisement -

“Saya ingin tahu bilakah kementerian akan membentangkan pindaan terhadap Akta Pencen 1980 bagi membolehkan mereka yang diserap boleh memilih untuk caruman di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekali gus menjadi antara tunjang penyelesaian kepada isu doktor hartal, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Abdullah juga ingin tahu jawapan kementerian mengenai jumlah kaunselor psikiatri dan psikologi di negara ketika ini.

“Adakah jumlah itu menepati nisbah yang ditetapkan di peringkat antarabangsa dan adakah kementerian bercadang untuk menggalakkan individu mendapatkan kepakaran kaunselor dan psikologi supaya rawatan terhadap pesakit yang mengalami gangguan kesihatan mental lebih komprehensif.

“Selain itu, adakah kementerian bercadang untuk menambah baik program minda sihat norma baharu memandangkan peningkatan kes gangguan kesihatan mental melibatkan murid, terutama di sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan intervensi kesihatan mental berada di bawah aspek kesihatan awam, namun fokus utama di bawah aspek kesihatan awam lebih tertumpu kepada vaksinasi murid dan kesihatan murid secara umum.

Sementara itu, beliau melahirkan sokongan terhadap Agenda Nasional Malaysia Sihat yang bakal dilaksanakan sehingga 2030 kerana aspek pemakanan merupakan teras kepada penjagaan kesihatan dalam negara.

Katanya, pendidikan literasi pemakanan yang sihat akan diberi tumpuan khusus dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat, selain menggalakkan rakyat Malaysia melakukan aktiviti fizikal seperti berjoging dan berbasikal.

Selain program demikian, katanya kerajaan perlu melaksanakan kempen pendidikan secara berterusan supaya rakyat mengamalkan gaya hidup yang baik. – HARAKAHDAILY 6/12/21

- Advertisement -