Tabung Haji bangunkan sistem ‘Hajj e-learning’

Foto daripada Facebook Idris Ahmad.

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan membangunkan sistem Hajj e-learning bermula bulan ini, dengan peruntukan hampir RM3 juta dalam usahanya memperkasa penyampaian bimbingan ibadat haji seperti terkandung dalam Kerangka Kerja Haji 2021-2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata dalam situasi pandemik Covid-19, pembelajaran secara dalam talian bukan sahaja seiring dengan keperluan zaman teknologi, malah sebahagian norma baharu kehidupan hari ini.

Advertisement

“Jika dilihat pada musim haji tahun 2019 dan 2020, kerajaan Arab Saudi juga sudah memulakan proses urusan haji mereka secara dalam talian, daripada permohonan haji sehingga pemilihan dan saluran makluman terkini kepada bakal haji terpilih.

“Saya percaya sudah tiba masa bagi bakal haji Malaysia melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi dan terbuka dengan cara baharu menunaikan haji,” katanya ketika merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-38 bagi Musim Haji 1443H di sini, hari ini.

Idris turut melancarkan inisiatif digitalisasi terbaharu TH iaitu aplikasi e-TAIB (Talian Ibadah–Pusat Panggilan) bagi memudahkan urusan jemaah haji bersoal jawab mengenai hukum dan perjalanan ibadat haji semasa di Tanah Suci melalui perbualan secara langsung bersama guru agama.

Sementara itu, TH dalam kenyataan memaklumkan Muzakarah Haji bermula hari ini hingga 8 Dis memberi peluang kepada lebih 500 Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan ilmuan agama berkongsi ilmu serta pengalaman dalam menetapkan keseragaman hukum, selain mencari penyelesaian terbaik berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah.

Bertemakan ‘Meningkatkan Kefahaman Ilmu Haji dalam Norma Baharu’, sebanyak lima kertas kerja dibentang dan dibincangkan oleh Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang mempunyai pengetahuan luas dalam melaksanakan ibadat haji.

Sementara itu, Idris pada sidang medianya berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat isu berkenaan pelakon lelaki yang membuat penampilan dalam siri bertemakan ‘gay’ menerusi aplikasi janji temu dan penstriman video.

“Perkara itu kalau berlaku di mana-mana negeri, kita minta supaya pihak negeri itu yang panggil untuk tanya kepada dia, kerana Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) hanya penyelaras sahaja. Kita tidak ada bidang kuasa untuk menghukum kerana ia terletak kepada pihak berkuasa agama negeri.

“Kalau perkara itu (melibatkan) filem, insya-Allah kita panjangkan kepada pihak SKMM supaya menyiasat perkara itu, kerana ini bertentangan budaya norma rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelakon lelaki muda berlakon dalam siri bertemakan gay yang ditayangkan semalam di aplikasi temu janji gay dan penstriman video. – BERNAMA