Solat hajat iringi calon PAS di Beting Maro

KUCHING: PAS memulakan proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak hari ini dengan solat hajat sebelum calon bergerak ke pusat penamaan calon.

Pusat penamaan calon terletak di Pejabat Daerah Pusa di mana kedudukannya hampir 300 kilometer dari Kuching.

Selain itu diadakan doa selamat, di lokasi tidak jauh dari Pejabat Daerah Pusa.

Advertisement

Hadir sama mengiringi calon PAS Dun Beting Maro Mohammad Arifriazul Paijo termasuk Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki, Pengarah Jawatankuasa Induk PAS PRN Sarawak Dr Wan Nik Wan Yussof, Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee serta pimpinan PAS negeri.

Dr Wan Nik berkata, calon tunggal PAS pada dianggap mempunyai peluang cerah untuk melebarkan pengaruh di Beting Maro.

Katanya, PAS bertapak di kawasan tersebut sejak 2001 dan mempunyai banyak cawangan.

“PRN Sarawak diberi sedikit kelonggaran kepada jentera kempen di mana lokasi yang tiada kemudahan internet dibenarkan diadakan kempen secara fizikal.

“Bagaimanapun disyaratkan kehadiran tidak lebih daripada 150 orang bagi mengelakkan penularan pandemic Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya peluang PAS di Dun terbabit, katanya ia hampir setara di mana fokus pertembungan di antara PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). – HARAKAHDAILY 6/12/2021