Program Ibu Waja bantu ibu tunggal tuntut hak

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenalkan program rintis Ibu Waja bagi membantu ibu tunggal yang diceraikan bekas suami untuk menuntut hak mereka di mahkamah.

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata program itu juga bertujuan untuk memberi keyakinan diri kepada mereka ketika berurusan di mahkamah.

- Advertisement -

Katanya, program ini dilaksanakan secara rintis di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, melibatkan 171 ibu tunggal untuk memberi pengetahuan, kefahaman dan panduan kepada peserta berhubung proses menuntut hak di mahkamah.

“Melalui program ini, KPWKM berharap peserta dapat mewakili diri sendiri di mahkamah tanpa perlu melantik peguam,” katanya menjawab soalan lisan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sti Zailah berkata, KPWKM juga menjalankan usaha sama melalui penubuhan Skuad Waja, Klinik Undang-Undang dan program pusat sokongan sosial setempat.

Selain itu, katanya kementerian menyediakan khidmat aduan atas talian, talian percuma Lembaga Penduduk dan Pembangunan keluarga Negara (LPPKN) dan perkhidmatan kaunseling.

Katanya, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pula menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) untuk membantu penguatkuasaan perintah nafkah di Mahkamah Syariah sejak 2009.

“BSK juga menyediakan khidmat bantuan guaman syarie bagi membantu isteri dan anak-anak untuk mendapat perintah mahkamah di Mahkamah Syariah.

“Selain itu, ada inisiatif oleh Majlis Agama Islam Negeri untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan dan Klinik Guaman untuk menyebarkan informasi tentang perundangan syariah, termasuk berkaitan khidmat guaman,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2021

- Advertisement -