Harga barangan keperluan naik! Rakyat semakin runsing

- Advertisement -

SEJAK kebelakangan ini, harga barangan keperluan di Malaysia semakin meningkat dan membimbangkan semua pihak terutama rakyat marhaen. Berdasarkan laporan kajian daripada TA Securities, kadar inflasi pada bulan November 2021 akan melebihi jangkaan yang sebenar. 

- Advertisement -

Peningkatan harga barang pada ketika ini juga disebabkan pelbagai faktor. Antaranya adalah peningkatan permintaan barangan, harga minyak global yang semakin meningkat, gangguan terhadap rantaian bekalan dan banyak lagi.

Data terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 12.3 peratus tahun ke tahun pada September 2021, berbanding 9 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Di samping itu, kos pengangkutan yang lebih tinggi juga akan menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi kerana purata harga runcit bahan api purata RM2.416 seliter pada November 2021 berbanding RM1.779 seliter pada November tahun lalu.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Research Bank, Dr Anthony Dass, berkata harga komoditi yang tinggi, isu rantaian bekalan yang berterusan dan kekurangan tenaga buruh meningkatkan kos perniagaan mendorong harga barangan dan perkhidmatan pengguna lebih tinggi, meskipun kerajaan mengambil langkah membendung harga bahan api dengan harga siling.

Tambahan pula, ketika ini, cuaca buruk menyekat bekalan makanan dan menjadikannya lebih mahal. Hal ini amat membimbangkan kerana ia akan menghakis kuasa beli pengguna, terutama mereka yang berpendapatan rendah seperti golongan B40 dan M40. Berdasarkan faktor dan data terkini, ia dilihat akan menyokong peningkatan inflasi pada bulan-bulan yang mendatang.

Melalui analisa QGA berkaitan Persepsi Solusi Pilihan Rakyat Di Malaysia (Zon Tengah Luar Bandar) yang lalu, rata-rata rakyat amat mengharapkan pihak kerajaan dapat mengawal harga barangan keperluan ini dengan konsisten. Hal ini demikian kerana bantuan sara hidup yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini, tidak mampu untuk membantu rakyat dalam menghadapi situasi yang getir ketika ini.

Kesimpulannya, diharap pihak kerajaan terutama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bekerjasama dalam mencari penyelesaian dengan kadar segera bagi menyelesaikan harga barangan yang semakin meningkat ketika ini.

Rujukan:
1. https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/11/893219/harga-barang-keperluan-dijangka-terus-meningkat
2. https://qgenanalysts.org/majoriti-rakyat-luar-bandar-mahukan-harga-barangan-keperluan-asas-utiliti-dikawal/

QGENANALYSTS – HARAKAHDAILY 6/12/2021

Sumber Asal: Sumber Asal: https://m.facebook.com/2284919521796917/posts/3060566040898924/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -