Harakah lahir ketika perpecahan Umno pada 1987

- Advertisement -

Oleh SHIMA HUSSIN

SANDAKAN:
Sejarah kelahiran akhbar Harakah perlu dihayati mereka yang baru berkecimpung dalam dunia kewartawanan Islam di negara ini.

Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah Norsah Bongsu berkata, usaha untuk melahirkan sebuah akhbar milik jemaah gerakan Islam bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan pengorbanan.

Katanya Harakah yang dilahirkan pada 1987 ketika perpecahan Umno sehingga melahirkan Umno Baru dan Semangat 46 menjadi sejarah penting negara.

- Advertisement -

“Bermula daripada perpecahan Umno akhirnya membawa kejayaan kepada PAS di Kelantan dengan membentuk kerajaan bersama Semangat 46 dan Angkatan Perpaduan Ummah.

Harakah juga menyumbang kepada ledakan reformasi sehingga PAS sekali menerima laba apabila menguasai dua kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 iaitu Kelantan dan Terengganu,” katanya pada bengkel Bengkel Penulisan Berita semalam.

Bengkel tersebut dianjurkan Lajnah Penerangan dan Media Baru Dewan Muslimat PAS Sandakan dengan kerjasama Alumni IPUUKM.

Seramai 50 peserta termasuk dari Sabah dan beberapa lokasi di Semenanjung menyertai bengkel tersebut. Bengkel itu dikendalikan pengarang Harakah.

Norsah juga berkata, wartawan baru hendaklah menghayati dan menghargai peranan penulis-penulis lama yang pernah mengangkat perjuangan PAS dan Islam sehingga menjalar ke seluruh negara sekarang.

Menurutnya mereka juga perlu lebih cekal, berani dan kreatif bagi menghasilkan karya dan penulisan untuk mendekatkan masyarakat dengan Islam.

“Pendedahan program seperti wajar diadakan secara berkala dalam usaha menghasilkan penulis-penulis yang berkeliber dan berkualiti pada masa akan datang,” katanya.

Pengarah program berkenaan Faizah Arbain turut berharap bengkel itu mampu melahirkan lagi ramai penulis dan wartawan yang mampu mengangkat perjuangan Islam dan isu-isu masyarakat.

Turut menyertai bengkel separuh hari tersebut Ketua Dewan Muslimat PAS Sandakan Ummu Syifa Tasman dan pimpinan PAS kawasan berkenaan. – HARAKAHDAILY 6/12/2021

- Advertisement -