Exco temui pemborong atasi kehadiran orang tengah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

POKOK SENA:
Kehadiran ‘orang tengah’ dikenal pasti antara punca berlaku kenaikan barangan keperluan harian yang agak ketara kebelakangan ini.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salim berkata, harga di peringkat pemborong dan kilang lebih murah.

Namun katanya kesempatan diambil ‘orang tengah’ menjual dengan harga lebih tinggi kepada peruncit.

- Advertisement -

“Ada pihak cuba kawal harga. Pemborong tolak dengan harga murah, tetapi ada pihak lain ambil kesempatan dengan menjual pula kepada peruncit harga mahal.

“Peniaga tidak mendapat barangan terus daripada pemborong. Jadi mereka menggunakan orang tengah menyebabkan barangan yang dijual lebih tinggi kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi di sini.

Oleh itu kata beliau pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pemborong dalam tempoh terdekat untuk mencari penyelesaian masalah berkenaan.

Wan Romani juga berkata, Program Jualan Keluarga Malaysia adakan di Parlimen Pokok Sena dan selepas ini akan menyusul di semua kawasan parlimen di negeri itu.

“Jualan Keluarga Malaysia akan diadakan setiap dua minggu sekali di 15 parlimen di Kedah dan menawarkan harga barangan keperluan lebih murah,” tambahnya.

Kata beliau barangan terbabit akan dipasarkan oleh agensi-agensi berkaitan dan bukannya kalangan peniaga biasa beroperasi daripada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurutnya program tersebut diadakan dalam usaha membantu rakyat khususnya golongan B40 mendapat barangan keperluan harian harga lebih murah.

“Orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga lebih murah dari pasaran biasa,” ujarnya. = HARAAHDAILY 6/12/2021

- Advertisement -