Enam lagi pelajar Maktab Mahmud Sik positif Covid-19

ALOR SETAR: Seramai enam lagi pelajar Maktab Mahmud Sik disahkan positif Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pelajar di maktab itu yang terlibat kes tersebut berjumlah 30 kes setakat semalam, di bawah Kluster Dah Pelangi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata pertambahan itu berlaku selepas seramai 44 individu warga maktab itu membuat ujian saringan Covid-19.

Advertisement

“Daripada saringan itu, seramai 14 individu dilaporkan negatif, seorang pelajar dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Kulim dan masih belum dibenarkan pulang, manakala seorang lagi dirawat di Hospital Sik, tetapi sudah dibenarkan pulang pada Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lepas, Dr Mohd Hayati dalam laporan media dipetik sebagai berkata Jabatan Kesihatan Negeri Kedah melaporkan kluster pendidikan membabitkan 24 pelajar Maktab Mahmud, Taman Pelangi Jaya, Sik yang disahkan positif Covid-19.

Kluster itu membabitkan pelajar asrama lelaki yang dikesan selepas beberapa pelajar berkenaan didapati mengalami gejala bermula pada 28 Nov lepas.

Semua pesakit berada pada kategori satu dan mereka dikuarantin di asrama serta dilaporkan stabil dan kesemua pelajar yang positif sudah lengkap divaksin kecuali seorang pelajar berikutan tidak mendapat kebenaran warisnya.

“Sekolah ini diberikan cuti seminggu, pelajar yang tinggal di asrama akan kekal di asrama dan yang lain di kediaman masing-masing,” katanya. – BERNAMA