‘Doakan kesihatan buat Ustaz Faisal’

IPOH: Mantan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait dilaporkan mengalami sakit dada dan serangan jantung lalu dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini petang kelmarin.

Advertisement

Akademi Tarbiah (AKTAR) Dewan Pemuda PAS Perak susulan itu menganjurkan solat hajat serentak bagi mendoakan kesembuhan dan dipermudah segala urusan Ustaz Faisal sekeluarga, malam semalam.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Muhammad Zulfadli Zainal memaklumkan demikian selepas bertemu dengan isteri, ibu dan ayah Ustaz Faisal di perkarangan hospital di sini petang semalam.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jelas terpancar di wajah isterinya walaupun kelihatan tenang menghadapi ujian dengan suaminya sedang dirawat di Unit Rawatan Koronori (CCU) HRPB.  

“Kami memang sangat terkejut, Ustaz Faisal yang kami kenali seorang yang sangat komited dalam perjuangan, sangat menjaga masa, malah turut menjaga pemakanan,” ujar Ustaz Zulfadli lagi.

Turut hadir dalam pertemuan singkat tersebut, mewakili Pemuda PAS Perak ialah Naib Ketua Pemuda, Ustaz Mohammad Omar Adam, Bendahari, Muhamad Syukri Alimar Shidi dan Ketua Pemuda PAS Ipoh Timur, Ahmad Sobri Latif.

Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri ketika dihubungi turut melahirkan rasa hiba apabila dikhabar keadaan Ustaz Faisal yang dimasukkan ke hospital petang semalam.

Beliau yang juga Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia kini berada di Sarawak menyempurnakan tugasan jemaah bersama jentera pilihan raya pemuda bagi persiapan PRN Sarawak. 

“Ustaz Faisal sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS Malaysia sangat komited dengan tugasnya dan sentiasa menepati masa. Malah turut menjaga pemakanannya,” ujar Ustaz Hafez.

Jelasnya lagi, Pemuda PAS Perak menerusi Lajnah Kebajikan turut melancarkan kutipan khas bagi sumbangan yang boleh disalurkan melalui akaun BIMB – 08013010005254 atas nama Dewan Pemuda PAS Negeri Perak. – HARAKAHDAILY 6/12/2021