Antara gila penasihat dan penasihat gila

- Advertisement -

VETERAN DAP Lim Kit Siang sudah bergelumang dalam politik tanah air lebih 50 tahun. Dalam usia lanjut 80 tahun kini beliau walau tiada jawatan rasmi dalam DAP namun masih berpengaruh dan dianggap sebagai ‘Penasihat Agung’ belakang tabir. 

- Advertisement -

Anak lelakinya Guan Eng Setiausaha Agung parti manakala anak perempuannya Hui Ying Setiausaha DAP Pulau Pinang.

Sepanjang 50 tahun karier politiknya ada jatuh bangun tetapi pasca PRU14 kelihatan bintangnya makin malap semalap usianya yang semakin lanjut.

Nasihat dan arahannya juga semakin tidak menjadi barangkali menandakan zaman keruntuhan DAP makin hampir.

Menang gemilang sehingga menakluk Putrajaya, Johor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dalam PRU14 dengan beliau sebagai arkiteknya kini sepantas kegemilangan itu satu demi satu pantas pula runtuh.

Januari 2019 tidak sampai setahun berkuasa DAP kalah dalam PRK Cameron Highlands yang pada PRU14 dimenangi dengan majoriti 597 undi.

Kemudian September 2020 PH-Warisan kalah lagi dalam PRN Sabah. Dan terbaru di Melaka PH kecundang lagi dengan DAP kalah 4 kerusi yang dimenangi sebelumnya dalam PRU14.

Kit Siang mula karier politiknya sebagai MP Bandar Melaka tahun 1969. Kit Siang menegur pimpinan PH agar tidak terima wakil-wakil ‘katak’ sebagai calon di Melaka kerana PH perlu tolak kleptokrat, oportunis dan penyangak, malangnya nasihat Kit Siang tidak lagi dilayan.

Ternyata Kit Siang makin terpinggir. Dalam DAP pun beliau sudah dikira barang antik apatah lagi dalam PH, beliau sudah tidak lagi diberi muka. Dalam Parlimen pun lebih banyak membisu dan menyepi.

Tiba-tiba hari ini demi mahu dilihat terus relevan dalam politik, Kit Siang serang Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai ‘adviser mania’ atau ‘gila penasihat’.

Kit Siang dakwa kononnya pelantikan penasihat-penasihat kepada Perdana Menteri menandakan Perdana Menteri tidak yakin terhadap menteri-menterinya.

Soalnya adakah mana-mana peruntukan atau peraturan yang melarang Perdana Menteri melantik penasihat? Kalau ia bermanfaat dan membantu kerjanya sebagai Perdana Menteri dan baik buat negara siapalah Kit Siang untuk membantah atau melarang?

Kit Siang patut tumpu sahaja peranannya dalam DAP, atau apakah beliau sudah tidak punya peranan? Peranan sebagai Ahli Parlimen Iskandar Puteri bagaimana? Masih turun kawasan atau cuma ‘remote control’ dari jauh?

Lebih baiklah ‘adviser mania’ daripada ‘maniac advisor’ macam beliau. Sarawak nanti pastikan beri nasihat terbaik jangan lagi kalah macam Melaka, Sabah dan Cameron.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 6/12/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100009880363600/posts/1654101071595889/

- Advertisement -