PRN Sarawak: Kenali calon PAS N.29 Beting Maro

Mohammad Arifiriazul Paijo (kanan) bersama Muhtar Suhaili.
- Advertisement -

ALHAMDULILLAH atas segalanya. Tahniah kepada adinda saya Saudara Mohammad Arifiriazul Paijo yang semalam telah diumumkan sebagai satu-satunya calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ke-12 Sarawak di N.29 Beting Maro. Beliau berusia 37 tahun, tiga tahun lebih muda daripada saya.

Saya kenali beliau sekian lama sejak bergraduat dan kembali berkhidmat ke Miri, Sarawak. Kami sama-sama dalam usaha menubuhkan Yayasan Amal Sarawak pada tahun 2006 juga menjadi antara tenaga awal menubuhkan PAS Kawasan Miri pada tahun 2009. Kini beliau merupakan Setiausaha PAS Sarawak manakala saya pula masih terus ditaklifkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sarawak.

Pada ketika itu saya berkhidmat bersama Shell dan beliau berkhidmat bersama Petronas. Namun beliau akhirnya memutuskan untuk meletak jawatan daripada Petronas pada tahun 2015 sebagai persiapan menjadi calon PRN ke-11 di N.72 Lambir pada tahun 2016. Besar pengorbanan beliau demi jamaah.

Kemudiannya kami turut terlibat dalam perbincangan awal untuk menubuhkan syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas. Beliau dan pasukan kemudiannya menubuhkan syarikat Permy Engineering & Services Sdn Bhd dan sekali gus beliau terus terjun dalam dunia keusahawanan dan mengembangkan syarikat tersebut sehingga kini.

- Advertisement -

Sahabat saya ini berkelulusan Sarjana Muda Business Information System daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan kini bakal bergraduasi pada Januari 2022 selesai Sarjana Pengurusan Perniagaan (Corporate Master in Business Administration) daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Di peringkat parti juga beliau merupakan mantan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Sarawak dan sekarang sudah masuk tiga penggal menjadi Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Saya kenali beliau sebagai seorang yang ikhlas dan banyak sumbangan beliau kepada jamaah.

Masih segar dalam ingatan saat mula-mula sama-sama menubuhkan PASTI pertama di Miri iaitu PASTI Al-Munawwarah pada tahun 2007 di saat PAS masih lagi sukar diterima di Sarawak. Alhamdulillah kini sudah ada lapan buah PASTI di Bahagian Miri dan 53 buah PASTI di seluruh negeri Sarawak. Kemudiannya kita juga berjaya mewujudkan Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Miri (SRIITIZ) di Miri demi untuk jihad pendidikan di Bumi Darul Hana. Sehingga kini sudah ada empat buah SRITI di Sarawak dan insya-Allah akan dikembangkan lagi.

Dari sudut keluarga, beliau telah berkahwin dengan Bazilah Basar dan kini dikurniakan empat orang cahaya mata. Kedua-dua suami isteri ini aktif menggerakkan jamaah di peringkat cawangan, kawasan dan negeri dan semoga Allah merahmati kedua-duanya.

Setelah tidak berjaya menang dalam PRN ke-11 di N.72 Lambir, Arif Paijo dan pasukan PAS Sarawak masih meneruskan gerak kerja dakwah, tarbiah dan siyasah di seluruh negeri Sarawak khususnya di DUN Beting Maro yang merupakan kerusi tradisi yang telah ditandingi oleh PAS sejak 20 tahun lalu.

PAS mula bertanding di DUN Beting Maro pada PRN Sarawak 2001 dan mencatatkan peningkatan undi dalam setiap pilihan raya. Sebagaimana disebut oleh YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man: “Pada PRN 2016 PAS bertanding di 11 kerusi. Kita dapat sokongan agak baik sebelum ini akan tetapi kali ini kita hendak fokus. Kalau ikut prestasi terdahulu, kita ada empat ke lima kerusi yang berpotensi tetapi kita pilih mana yang terbaik dan kita harap kita berjaya”.

Insya-Allah sama-sama kita membantu dan doakan kemenangan PAS melahirkan ADUN sulung di Sarawak. Saya yakin jika Arif Paijo diberi peluang, beliau boleh menjadi suara yang berkesan membawa aspirasi rakyat Beting Maro amnya dan agenda parti Islam khususnya.

Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan!

Sahabatmu,
MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI,
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sarawak. – HARAKAHDAILY 5/12/2021

- Advertisement -