‘Mereka tidak terkenal, tetapi keikhlasan Allah tahu’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad melahirkan keyakinan jika masjid diimarahkan dengan baik melahirkan masyarakat yang baik.

Sehubungan itu, katanya masjid perlu menjadi jantung ummah.

“Saya yakin dan percaya, jika baik masjid diimarah, masyarakat sekitarnya pun juga baik. Insya-Allah,” ujarnya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook beliau.

Beliau turut melahirkan rasa seronok apabila dapat bersama mereka yang sangat berjasa di sebalik pengimarahan masjid.

- Advertisement -

“Mungkin mereka tidak terkenal, tetapi keikhlasan mereka hanya Allah yang tahu,” katanya yang sempat singgah sebentar di Masjid Jamek Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.

Menurutnya, masjid berkenaan adalah salah sebuah masjid yang sangat aktif dan imarah di negeri itu.

Beliau berkata, rata-rata yang hadir dalam pertemuan itu adalah pihak jawatankuasa daripada pelbagai masjid di sekitar Seberang Jaya.

“Sejak 1 September 2021 ketika memulakan tugasan saya, salah satu yang saya tekankan dalam 5 Inisiatif Mantap adalah berkaitan pemantapan institusi masjid dan surau,” ujarnya lagi.

Justeru, besar harapan beliau agar agensi-agensi hal ehwal Islam, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat untuk sama-sama berganding bahu terus mengimarahkan masjid-masjid di negara ini.

“Moga-moga pandemik Covid-19 terus berlalu dan kita dapat kembali ke masjid sebagaimana sediakala,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 5/12/2021

- Advertisement -