685 bakal haji Sarawak ikuti kursus dalam talian

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 685 bakal jemaah haji Sarawak bagi musim 1443H/2022M menjalani Kursus Asas Haji (KAH) secara dalam talian hari ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Dato Ahmad Marzuk Shaary berkata, kursus asas haji sebagai pengenalan kepada ibadat haji yang sebelum ini dilaksanakan di masjid-masjid terpilih seluruh Malaysia.

Namun katanya selari dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara, pelaksanaanya dibuat secara dalam talian secara langsung di laman YouTube.

- Advertisement -

“Menjadi impian semua umat Islam untuk tunaikan ibadat haji di Baitullah al-Haram jika diizinkan oleh Allah SWT. Tidak semua diberi peluang merasainya, ada yang menunggu sehingga berpuluh tahun untuk mendapat peluang tersebut.

“Akan tetapi sebelum peluang itu tiba, persiapan diri harus diperkemaskan terlebih dahulu. Andai nanti peluang itu datang, kita sudah bersedia untuk menyahut panggilan Ilahi ke Tanah Suci,” katanya pada kenyataan selepas merasmikan kursus tersebut.

Menurutnya kesemua mereka akan dibimbing oleh Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) Negeri Sarawak.

Menurutnya juga dalam keadaan pandemik yang masih menular, agak sukar untuk memberi suatu keputusan muktamad berkenaan pelaksanaan ibadat haji 1443H/2022M untuk rakyat Malaysia.

Kata beliau banyak perkara yang turut berubah, termasuk kos pelaksanaan ibadat haji yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi, mungkin turut meningkat bagi pelaksanaan norma baharu.

Walau bagaimanapun katanya kerajaan akan berusaha semampu mungkin bagi memenuhi impian rakyat Malaysia melaksanakan ibadah haji.

“Terima kasih Lembaga Tabung Haji Sarawak dan tuan rumah, Islamic Information Centre (IIC), Sarawak atas penganjuran program ini. Semoga kita semua diberi kesempatan oleh Allah SWT menjadi duyufur rahman tahun ini, insya-Allah,” ujarnya.

Pada majlis yang juga seramai 30 PEKTA di seluruh Sarawak yang diperakui oleh Bahagian Bimbingan Jabatan Haji telah menerima Kad Tauliah Mengajar (E–KATAM). – HARAKAHDAILY 5/12/2021

- Advertisement -