KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad merasa sayu melihat para petugas yang bertungkus lumus menjadi pelajar-pelajar yang dijangkiti Covid-19.
Menurutnya, semalam beliau mendapat pemakluman seramai 403 pelajar dari Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya yang merupakan kontak rapat kepada rakan-rakan mereka yang dijangkiti Covid-19 ditempatkan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi bagi membendung penularan wabak itu.
Sehubungan itu, beliau bergegas ke ILIM untuk mendapatkan perkhabaran langsung daripada pihak berautoriti berkenaan kes itu sebelum bertolak ke Utara untuk urusan rasmi.
“Alhamdulillah, semuanya terkawal dan sayu saya melihat semua petugas kesihatan, petugas keselamatan dan pihak pengurusan ILIM yang bertungkus lumus dalam memastikan anak-anak kesayangan kita mendapat perhatian secukupnya untuk membendung mereka daripada wabak ini,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau, malam tadi.
Beliau telah diberikan taklimat operasi dan penempatan oleh Pegawai Kesihatan Daerah Sepang, Dr Mohd Nasir Habib dan Pengarah Kanan ILIM, Aminudin Mohamad. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim.
Idris dimaklumkan bahawa di bahagian asrama di ILIM tiada kemudahan WIFI yang disediakan.
Sehubungan itu, beliau telah meminta pihak ILIM untuk mengadakan perbincangan bersama pihak yang terlibat untuk sekurang-kurangnya menyediakan WIFI portable bagi kemudahan anak-anak yang berada di situ.
“Kami sempat menyediakan sedikit sumbangan makanan dan keperluan untuk para petugas yang disumbang oleh Persatuan Belia Prihatin, Bangi.
“Insya-Allah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) juga akan menyumbang pek makanan KFC kepada kesemua anak-anak ini sebagai tanda sokongan moral untuk mereka kuat berhadapan dengan ujian ini,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas agensi-agensi yang terlibat seperti ILIM, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Daerah Sepang, JKM, KPM, Jabatan Pertahanan Awam, PDRM dan lain-lain.

“Saya seru seluruh rakyat Malaysia mendoakan adik-adik ini selamat menjalani sesi kuarantin dan kembali untuk bersekolah seperti biasa kelak.
“Kepada semua ibu bapa yang mana anak mereka berada di sini, saya berharap agar tidak risau dan bimbang kerana para petugas di ILIM akan melakukan yang terbaik untuk menjaga anak-anak ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2021