PRN Sarawak: PAS letak calon bersifat strategi

MARANG: Setiap sayap dalam PAS mempunyai media sosial sendiri di mana semuanya berada dalam dashboard Penerangan PAS Pusat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ts Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) mempunyai media sosial tersendiri.

Kata beliau pihaknya telah mengenal pasti beberapa konsultan yang akan memberi nasihat bagaimana hendak empower media sosial.

Advertisement

Menurutnya juga tugas penerangan sekarang untuk membebaskan manusia daripada kejahilan umat yang dibuat oleh musuh-musuh Islam.

“Jadi mesti ada pelbagai strategi, perkara-perkara bersifat taktikal dan memerlukan pelaburan seperti kewangan, jentera dan lain-lain,” ujarnya selepas merasmikan Retreat Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI) Terengganu 2021, di Marang Village Resort & SPA di Kampung Alor Tuman, Marang, hari ini.

Beliau juga berkata, Harakah perlu dijenamakan semula yang turut melibatkan semua organ yang berada di bawahnya seperti Harakahdaily, TVPAS dan HijauFM.

Selain itu perlu ada hubungan dengan media luar iaitu dengan RTM, TV Hijrah dan rakan-rakan strategi seperti Bernama, Astro Awani, Sinar Harian dan lain-lain.

“Hubungan kami dengan mereka cukup baik dan boleh memposisikan pemimpin-pemimpin kita untuk berada di kalangan rakyat, supaya masyarakat dapat melihat peranan pemimpin kita,” ujarnya.

Menurutnya juga pimpinan PAS Pusat termasuk Ketua Pemuda, Ketua Muslimat, Ketua Ulamak perlu diberi peluang untuk membolehkan mereka memberi taujihat pemikiran kepada rakyat.

Beliau juga berkata, penyertaan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, tidak menghalang hubungan PAS dengan rakan-rakan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, hasrat PAS bagi menyertai pilihan raya di Sarawak hanya bersifat taktikal, berstrategi serta mempunyai kebaikan di sebaliknya.

“Hubungan kita (PAS) dengan GPS baik, dengan Perikatan Nasional (PN) pun baik dan tindakan kita bersifat taktikal. Biar kami selesaikan dengan pemimpin atasan, kita meletakkan calon di PRN Sarawak adalah suatu tindakan bersifat strategi,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi KAMI, Naraza Muda, Bendahari KAMI, Nazmi Ghazali serta 20 peserta Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 sementara penamaan calon pada 6 Disember dan pengundian awal 14 Disember.

SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Jan sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan Covid-19.

Apabila darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Feb 2022. Darurat itu ditarik balik pada 3 November, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak.

Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 November, memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN. – HARAKAHDAILY 4/12/2021