Jihad melawan orang tengah untuk turunkan harga barang

tengah
- Advertisement -

RENTETAN isu kenaikan harga barang asas makanan yang melanda negara, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan supaya membanteras ‘orang tengah’ dalam segala rantaian pengeluaran barang makanan.

- Advertisement -

‘Orang tengah’ sebenarnya memainkan peranan besar dalam turun naik harga barang, dengan mewujudkan kartel mereka serta mengawal dan menyimpan stok dan pengeluaran barang kepada peniaga sehingga dilihat bekalan seperti kurang, kemudian menaikkan harga dengan alasan susah untuk dapatkan barang dari petani dan penternak. Orang tengah juga telah menindas para petani dan penternak, mengambil sayur dan haiwan ternakan dengan harga murah kemudian menjual semula dengan harga mahal. 

Pemuda PAS menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meningkatkan penguatkuasaan untuk menghalang ‘orang tengah’ dari mengawal dan memonopoli harga barang asas sesuka hati. Penguatkuasa KPDNHEP digesa bekerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia bagi memantau harga barang keperluan asas di pasaran. Pemantauan secara lebih kerap dan berterusan mesti dilakukan di pasar-pasar yang mempunyai aduan peniaga menjual harga barang keperluan asas dengan terlalu mahal.

Selain itu, Pemuda PAS menggesa Kerajaan, terutamanya MAFI supaya memberi sokongan penuh kepada petani dan penternak tempatan. Agensi-agensi di bawah MAFI mesti memainkan peranan mengutip dan mengedar barangan pertanian dan penternakan dengan lebih telus, supaya kartel dan ‘orang tengah’ tidak  dapat memonopoli harga barangan keperluan asas di pasaran. 

Kenaikan harga barang asas sesungguhnya memberikan kesan yang besar buat semua rakyat Malaysia. Makanan adalah hak asasi rakyat, dan amat sukar untuk meneruskan kehidupan sekiranya kita terpaksa membayar makanan dengan harga yang mahal demi meneruskan hidup. Peranan ‘orang tengah’ yang memonopoli dan menyebabkan kenaikan harga barang ini harus dibanteras demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 4/12/2021

- Advertisement -