Hari Perpaduan Antarabangsa untuk Palestin hanyalah retorik PBB

- Advertisement -

PADA tahun 1977, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru agar tanggal 29 November setiap tahun dinobatkan sebagai Hari Perpaduan Antarabangsa untuk Rakyat Palestin. Rentetan daripadanya pada tahun 2005, PBB mula menganjur pameran secara tahunan mengenai Palestin.

Pada sambutan Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin tahun ini, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyatakan bahawa situasi di wilayah yang diduduki rejim zionis Israel di Tebing Barat termasuk Timur Baitul Maqdis terus memberikan cabaran besar kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Sekali lagi PBB gagal mendalami dan memahami apa yang sebenarnya berlaku di Palestin atau hanya menuruti naratif yang dibekalkan oleh dunia barat yang memberikan gambaran bahawa rakyat Palestin yang berjuang untuk memerdekakan negara meraka adalah pengganas dan dalam masa yang sama penjajah yang menjajah negara mereka adalah mangsa.

Penubuhan negara haram Israel adalah satu perkara yang paling memalukan yang pernah berlaku dalam sejarah moden dunia dan berusaha mengekalkannya adalah lebih memalukan terutamanya buat dunia barat yang begitu berbangga menjadi pejuang demokrasi dan hak asasi manusia.

- Advertisement -

Rakyat Palestin sejak Perjanjian Balfour telah melalui pelbagai bentuk kezaliman dan penindasan selain daripada tanah air mereka dirampas di atas kepercayaan bahawa Palestin adalah hak orang Yahudi.

Ia adalah alasan yang cukup tidak masuk akal dan tidak sepatutnya dijadikan asas untuk dunia barat menyokong dan membantu rejim zionis Israel dari segenap sudut di samping menafikan hak rakyat Palestin ke atas negara mereka.

Pelbagai resolusi PBB telah dikuatkuasa dan kecaman telah diutarakan terhadap kelakuan rejim zionis Israel di bumi Palestin namun tiada satu pun tindakan konkrit diambil terhadap rejim zionis Israel. Berbeza dengan situasi di Iraq apabila Amerika Syarikat dan sekutunya terus menyerangnya dan hari ini hasilnya, Iraq hancur dengan haru hara serta kekacauan terus berleluasa sehingga ke hari ini.

PBB mahupun Majlis Keselamatan PBB gagal bertindak untuk menangani kezaliman dan kekejaman rejim zionis Israel sejak ditubuhkan PBB pada tahun 1945. Rakyat Palestin yang menentang penjajahan rejim zionis Israel ditangkap dan dipenjara termasuk wanita dan kanak-kanak. Tanah dan kediaman rakyat Palestin diroboh dan dirampas.

Tembok besar dibina di sekeliling negara haram Israel bagi memisahkan rakyat Palestin dari tanah air asal mereka. Pos-pos kawalan didirikan di wilayah-wilayah yang diduduki rejim zionis Israel di Tebing Barat bagi menyukarkan pergerakan rakyat Palestin serta mengawal mereka.

Polis serta tentera rejim zionis Israel bermaharajalela menyerbu bandar, kampung dan kediaman rakyat Palestin tidak kira siang atau malam di samping menangkap, memukul mahupun membunuh rakyat Palestin.

Pendatang haram yahudi secara terang-terangan menyerang penduduk Palestin, merampas kediaman mereka termasuk juga memusnahkan kebun-kebun yang diusahakan rakyat Palestin atas tanah mereka sendiri.

Sekolah-sekolah diroboh, bantuan kemanusiaan dihalang masuk, kominukasi disekat serta dipantau, tenaga elektrik dicatu dan sistem kumbahan serta bekalan air mentah teruk tercemar dan banyak lagi sekatan dan kezaliman yang dilakukan rejim zionis Israel terhadap Palestin dan rakyatnya.

Seluruh dunia tahu akan kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh rejim zionis Israel di Palestin termasuk PBB dan Majlis Keselamatan PBB tetapi apakah tindakan selanjutnya yang dilakukan oleh badan antarabangsa ini?

Jawapannya boleh dikatakan tiada bahkan segala resolusi yang ditetapkan secara terang-terangan dilanggar oleh rejim zionis Israel tanpa rasa takut mahupun gentar. Tidak cukup dengan itu, rejim zionis Israel berterusan melanggarnya dan memperluaskan lagi jajahannya ke atas wilayah Palestin.

Bukan sahaja PBB tidak mampu menghalangnya, malah kuasa besar dunia turut bersekongkol dan mendukung apa yang dilakukan regim zionis Israel di Palestin sekali gus dengan tindakan tersebut, rejim zionis Israel dengan beraninya terus melanggar norma-norma kemanusiaan termasuk melanggar etika hak asasi manusia dengan terus mencabuli bumi dan rakyat Palestin.

Bahkan lebih memalukan lagi buat PBB, negara haram Israel telah diterima sebagai sebuah negara anggota PBB, sebuah negara penjajah yang zalim dan tidak berperikemanusiaan sedangkan Palestin hanya diberikan status sebagai sebuah negara pemerhati sahaja di dalam PBB.

Ini secara tidak langsung memberikan maksud bahawa negara haram Israel diakui oleh PBB sebagai sebuah negara sedangkan Palestin secara dasarnya tidak diakui sebagai sebuah negara. Maka tidak hairanlah segala resolusi PBB dan Majlis Keselamatan PBB tidak diendahkan oleh negara haram Israel serta dengan beraninya terus melakukan kezaliman dan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Oleh itu secara dasarnya apa yang diperkatakan oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres adalah tidak tepat dan benar. Sebetulnya kewujudan negara haram Israel memberikan cabaran besar terhadap keselamatan dan keamanan di bumi Palestin termasuk kestabilan di rantau Asia Barat.

Tidak bermakna buat PBB menetapkan setiap tahun pada 29 November sebagai Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin sedangkan PBB sendiri tidak berusaha sedaya upaya untuk menarik sokongan negara-negara dunia untuk bersama-sama rakyat Palestin memerdekakan tanah air mereka.

Solusi “Dua Negara“ yang diketengahkan oleh PBB dalam usaha mencari perdamaian di antara Palestin-Israel telah lapuk ditelan zaman malah rejim zionis Israel sendiri telah menolaknya sebagaimana ucapan Perdana Menteri rejim zionis Israel baru-baru ini yang menyatakan bahawa dia tidak akan menyerahkan seinci tanah pun untuk ditubuhkan sebuah negara pengganas iaitu negara merdeka Palestin.

Oleh itu, sudah sampai masa Setiausaha Agung PBB menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya iaitu untuk menguatkuasakan segala resolusi yang telah ditetapkan PBB untuk menyelesaikan konflik antara Palestin dan negara haram Israel di samping memberikan kestabilan geopolitik yang berpanjangan kepada rantau Asia Barat.

Majlis Keselamatan PBB perlu menjalankan tanggungjawabnya dengan menghalang kezaliman dan kekejaman rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin dan bukannya menghalang dunia daripada terus memberikan tekanan kepada rejim zionis Israel.

Hari Perpaduan Dunia dengan Rakyat Palestin tidak akan bermakna jika PBB tidak bertindak dan hanya melakukannya umpama melepaskan batuk di tangga kerana lama kelamaan, negara-negara dunia tidak akan lagi mempercayai PBB dan kemudiannya bertindak sendiri untuk menghalang rejim zionis Israel.

Muhammad Khalil Abdul Hadi

Kita sebagai umat Islam secara berterusan perlu terus menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk memerdekakan tanah air mereka dan kota suci Baitul Maqdis. Semoga dengan sokongan dan doa dari kita semua, rakyat Palestin mampu bangkit kembali dan seterusnya berjaya memerdekakan tanah air mereka dan membebaskan kota suci Baitul Maqdis daripada penjajahan rejim zionis Israel.

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 4/12/2021

- Advertisement -