Sakit, usia tua menunjukkan hampirnya ajal seseorang

- Advertisement -

Oleh TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

SAKIT dan usia tua menjadi tanda-tanda kebiasaan yang menunjukkan hampirnya ajal seseorang, sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ke atas para hamba-Nya.

Begitulah juga dengan Rasulullah SAW, apabila Baginda mengalami sakit yang tenat pada akhir bulan Safar ataupun awal Rabi‘ul Awwal tahun ke-11 Hijrah.

- Advertisement -

Allah SWT telah mengurniakan beberapa isyarat yang menandakan perkara tersebut melalui al-Quran dan juga petunjuk melalui hadis yang disabdakan. Antaranya firman Allah SWT:

…ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗا…٣

“…Pada hari ini, Aku telah menyempurnakan bagi kalian agama kalian dan Aku telah mencukupkan nikmat-Ku kepada kalian dan Aku telah meredai bahawa Islam itu menjadi agama kalian…” (Surah al-Maidah: 3)

Manakala, isyarat kewafatan Rasulullah SAW juga disebutkan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA bahawa pada hari ketika berada di Mina, Rasulullah SAW melontar dan bersabda:

‌لِتَأْخُذُوا ‌مَنَاسِكَكُمْ، ‌فَإِنِّي ‌لَا ‌أَدْرِي ‌لَعَلِّي ‌لَا ‌أَحُجُّ ‌بَعْدَ ‌حَجَّتِي ‌هَذِهِ.

“Ambillah daripadaku cara-cara menunaikan ibadat haji daripadaku, sesungguhnya aku tidak tahu adakah dapat aku mengerjakan haji lagi, mudah-mudahan aku tidak bertemu kalian lagi pada tahun hadapan.” (Riwayat Muslim 1297)

Abu Sa‘id al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berkhutbah:

إِنَّ اللَّهَ ‌خَيَّرَ ‌عَبْدًا ‌بَيْنَ ‌الدُّنْيَا ‌وَبَيْنَ ‌مَا ‌عِنْدَهُ، ‌فَاخْتَارَ ‌ذَلِكَ العَبْدُ مَا عِنْدَ اللَّهِ.

“Sesungguhnya Allah telah memberikan pilihan kepada hamba-Nya, sama ada memilih antara dunia ataupun apa-apa yang ada di sisi-Nya, lalu hamba itu memilih apa yang ada di sisi Allah.”

Abu Sa‘id RA berkata:

فَبَكَى أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، فَقُلْتُ فِي نَفْسِي مَا يُبْكِي هَذَا الشَّيْخَ؟ إِنْ يَكُنِ اللَّهُ خَيَّرَ عَبْدًا بَيْنَ الدُّنْيَا وَبَيْنَ مَا عِنْدَهُ، فَاخْتَارَ مَا عِنْدَ اللَّهِ، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هُوَ العَبْدَ، وَكَانَ أَبُو بَكْرٍ أَعْلَمَنَا.

“Apabila mendengar khutbah itu, maka Abu Bakar RA menangis. Kami semua berasa hairan mengapa beliau menangis, padahal Rasululllah SAW hanyalah menceritakan tentang seorang hamba yang memilik kebaikan, akhirnya kami ketahui bahawa hamba yang dimaksudkan itu ialah Baginda SAW. Rupa-rupanya beliau lebih mengetahui hakikatnya antara kami semua.” (Riwayat al-Bukhari 3654)

Bapa saudara Rasulullah SAW, al-‘Abbas RA menceritakan bahawa beliau bermimpi akan Baginda SAW, katanya:

‏‌رَأَيْتُ ‌فِيَ ‌الْمَنامِ ‌كَأَنَّ ‌الْأَرْضَ ‌تُنْزَعُ ‌إِلَى ‌السَّمَاءِ ‌بِأَشْطَانٍ ‌شِدَادٍ، ‌فَقَصَصْتُ ‌ذَلِكَ ‌عَلَى ‌رَسُولِ ‌اللَّهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ.

“Aku melihat seakan bumi diangkat ke langit dengan tali-tali, lalu aku bertanyakan Rasulullah SAW dan Baginda bersabda:

‌ذَاكَ ‌وَفَاةُ ‌ابْنِ ‌أَخِيكَ.

“Itulah tanda kewafatan anak saudaramu.” (Riwayat al-Bazzar dalam Musnadnya 1317)

Kuliah Dhuha Jumaat, 28 Rabiul Akhir 1443 – HARAKAHDAILY 3/12/2021

- Advertisement -