Raja Perlis: Hentikan aktiviti ancam kesejahteraan masyarakat

Dato' Wira Lee Chong Wei menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan daripada Tuanku Syed Sirajuddin
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, menitahkan agar semua pihak berhenti melakukan aktiviti yang boleh mengancam kesejahteraan masyarakat dan sebaliknya memberi keutamaan kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Pertelagahan yang akan meruntuhkan benteng perpaduan masyarakat, termasuk melalui media sosial perlu dihentikan sepenuhnya.

- Advertisement -

“Sekarang ini masa untuk kita manfaatkan ilmu dan pengetahuan agar dapat keluar segera dari kemelut yang ada dan kita mampu melakukannya,” titah Baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) di Istana Arau di sini, semalam.

Berangkat sama mengiringi Baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Raja merangkap Tuanku Canselor USM juga berharap supaya ilmuwan dalam pelbagai bidang kepakaran dapat bersatu tenaga dan fikiran membantu negara dan masyarakat.

‘Kita perlu memainkan peranan dalam pembangunan semula ekonomi negara dan pada masa sama memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” titah Baginda.

Penerima Ijazah Kehormat pada konvokesyen kali ini ialah Dr David Lacey (Ijazah Kehormat Doktor Sains), Dato’ Wira Lee Chong Wei (ljazah Kehormat Doktor Sains Sukan), Dato’ Dr Asma Ismail (Anugerah Profesor Emerita), Dr Zahri Ismail (Anugerah Profesor Emeritus) dan Khaw Teng Kang (Hadiah Pingat Emas Canselor).

Turut hadir ialah Pro Canselor USM, Tan Sri Mustafa Mansur dan Tan Sri Dr Zulkefli A Hassan; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Dr Awang Adek Hussin dan Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan. – HARAKAHDAILY 3/12/21

- Advertisement -