Pelajar anak yatim DUN Bukit Panau terima sumbangan

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

TANAH MERAH: Seramai 100 pelajar daripada kalangan anak yatim di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau, menerima sumbangan Skim Pelajar Yatim (SPY) kerajaan Kelantan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Panau, Dato’ Abdul Fattah Mahmood, berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM10,000 bagi setiap DUN untuk disumbangkan kepada pelajar berkenaan.

- Advertisement -

Katanya, sumbangan itu yang bertujuan meringankan bebanan golongan berkenaan selaras dengan dasar kerajaan negeri yang berkebajikan.

“Terima kasih kepada kerajaan Kelantan, terutama Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, yang begitu prihatin menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Abdul Fattah berkata, dasar kerajaan negeri juga menepati kehendak Islam yang mahu umatnya mengambil berat nasib anak yatim.

Beliau berharap sumbangan berkenaan juga dapat meningkatkan semangat pelajar untuk berjaya dalam pendidikan walaupun dalam keadaan diuji oleh Allah tanpa ibu atau bapa di sisi.

Sementara itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya mengambil suntikan lengkap vaksin dan juga vaksin dos penggalak bagi golongan yang layak menerima suntikan itu.

Katanya, suntikan itu penting bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 serta memastikan penerima mempunyai imuniti yang lebih kuat jika dijangkiti virus itu. – HARAKAHDAILY 3/12/21

- Advertisement -