Operasi mencari, menyelamat tanah runtuh ditamatkan

- Advertisement -

IPOH: Kerja-kerja mencari dan menyelamat di kawasan tanah runtuh di Km 27.10 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini yang berlaku semalam, ditamatkan operasinya pada kira-kira pukul 6 petang tadi berikutan tiada petunjuk bahawa terdapat mangsa lain yang tertimbus.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata operasi dengan menggunakan jentera berat dan bantuan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dijalankan bagi memastikan tiada lagi mangsa yang tertinggal dalam runtuhan tanah tersebut.

- Advertisement -

“Mesyuarat penutupan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diadakan bersama semua agensi dan telah memutuskan supaya PKTK ditutup,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata kekuatan pasukan mencari dan menyelamat sepanjang operasi berkenaan dilaksanakan ialah seramai 143 orang antaranya 32 anggota bomba, 26 anggota STORM, tujuh anggota Unit K9 serta empat anggota polis selain turut dibantu oleh pihak syarikat konsesi, Belati Wangsa iaitu seramai 31 orang.

Insiden tanah runtuh tengah hari semalam menyebabkan pemandu lori Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu kenderaan Toyota Alphard dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36, maut akibat tertimbus sebelum mayat mereka berjaya dikeluarkan oleh pasukan JBPM malam semalam.

Kedua-dua bangkai kenderaan lori dan kereta itu juga berjaya dibawa keluar daripada runtuhan tanah pada petang tadi menggunakan jentera jengkaut.

JBPM Perak menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.44 tengah hari semalam dan pemerhatian awal mendapati dua kenderaan tertimbus dalam runtuhan tanah berkenaan sekali gus kerja-kerja mengangkat timbunan tanah menggunakan jengkaut diaktifkan serta-merta di lokasi kejadian. – BERNAMA

- Advertisement -