Kes pertama Omicron dikesan di Malaysia – Khairy Jamaludin

PETALING JAYA: Kes pertama varian baharu Covid-19, Omicron kini disahkan telah dikesan di Malaysia, membabitkan seorang pelajar bukan warganegara Malaysia yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin berkata, pelajar sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak berusia 19 tahun berkenaan bagaimanapun sudah menjalani kuarantin selama 10 hari dan telah diberi pelepasan pada Isnin, 29 Nov lepas.

Advertisement

“Pelajar itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada Jumaat, 19 Nov lalu dan menjalani ujian RT-PCR setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” ujar beliau dalam sidang media pada Jumaat, hari ini (3 Dis).

Menurutnya, semua kontak rapat pelajar berkenaan sudah menjalani ujian swab RT-PCR dan hasilnya didapati negatif.

“Sehubungan itu, pelancong yang tiba di KLIA dari negara-negara berisiko tinggi akan (dikehendaki) memakai alat pengesan sepanjang tempoh kuarantin mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/12/2021