Jangan tertipu dengan isu

- Advertisement -

TENTU ramai yang perasan satu keadaan di mana ketika satu isu hebat diperbincangkan oleh masyarakat dan mendapat perhatian media tiba-tiba muncul satu isu lain yang menenggelamkan isu tersebut. Akhirnya isu itu terus hilang dan isu yang baharu mendapat perhatian masyarakat dan media. Kadang-kala isu yang tenggelam itu adalah isu yang penting seperti yang melibatkan kepentingan rakyat atau isu yang memberi kesan buruk kepada pihak tertentu. Walau bagaimanapun isu yang menenggelamkannya adalah isu remeh tetapi sensasi seperti yang melibatkan artis atau selebriti. Adakah perkara ini berlaku secara kebetulan atau ia adalah satu perancangan untuk menutup isi asal?

Modus operandi ini adalah satu strategi yang biasa digunakan untuk menutup sesuatu isu. Ini berlaku apabila isu yang ditenggelamkan itu tidak dapat dijawab atau ditangani dengan berkesan. Impaknya mungkin terlalu besar atau terlalu rumit untuk diselesaikan. Oleh yang demikian strategi yang diambil adalah dengan menenggelamkannya dengan harapan orang ramai akan melupakannya. Masyarakat akan terlalu sibuk dengan isu baharu yang dilemparkan ke dalam masyarakat.

- Advertisement -

Jangan kita tertipu dengan isu-isu di sekeliling kita. Kadang-kala juga isu yang sengaja diviralkan di dalam masyarakat adalah hanya satu mukadimah kepada sesuatu matlamat yang lebih besar yang hendak dicapai. Pada akhir tahun 90-an timbul isu tentang perkhidmatan bas mini di Lembah Kelang. Media ketika itu memaparkan masalah-masalah yang dihadapi oleh perkhidmatan bas tersebut. Di antaranya adalah kes pemandu yang positif dadah dan kes bas melanggar orang ramai. Justeru itu apabila pada 1 Julai 1998 perkhidmatan bas mini digantikan dengan bas-bas Intrakota, tidak kedengaran banyak bantahan daripada orang ramai. Saya tidak berkata satu naratif telah diwujudkan untuk memastikan proses memberhentikan perkhidmatan bas mini berjalan dengan lancar kerana ia mungkin berlaku secara kebetulan. Walau bagaimanapun kita perlu sentiasa bertanya apakah matlamat sebenar sesuatu isu itu disensasikan.

Masyarakat hari ini dipengaruhi oleh media sosial yang memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk membentuk pemikiran mereka. Sebelum ini hanya kerajaan yang menguasai televisyen, radio dan akhbar-akhbar utama dapat mengongkong pemikiran rakyat tetapi zaman tersebut telah berubah. Terdapat mereka (influencer) yang memiliki beratus-ratus ribu malah berjuta-juta pengikut (follower) pada akaun media sosial mereka yang dapat menguasai pemikiran rakyat. Terdapat juga parti politik yang menggaji beribu-ribu individu untuk mengendalikan akaun-akaun media sosial atau menyerang akaun-akaun lawan mereka. Mereka ini lebih berpengaruh dan berkesan dari media-media kerajaan.

Kita tidak boleh menyalahkan mereka yang berniat jahat kerana kadang-kala masyarakat yang merelakan diri mereka ditipu. Strategi mengulangi satu pembohongan berkali-kali sehingga akhirnya masyarakat akan mempercayainya adalah bukan satu perkara yang baharu. Ia ada satu teori propaganda yang dikaitkan dengan Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Nazi pimpinan Hitler dari tahun 1933 hingga 1945. Teori ini menyebut, Repeat a lie often enough and it becomes the truth atau dalam Bahasa Melayu, “Ulangi pembohongan dengan kerap dan ia akan menjadi kebenaran”.

Pada kempen Pilihan Raya Umum 2018, terdapat pengundi yang marah kepada PAS kerana kononnya menerima dana berjuta-juta ringgit. Apabila diminta buktinya, mereka hanya berkata mereka mendapat maklumat daripada orang-orang tertentu. Tidak ada bukti hanya tuduhan-tuduhan yang mereka percaya kerana ia diulang berkali-berkali. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana orang kuat Hitler, Goebbels, telah menjangkakan manusia-manusia seperti ini akan wujud. Walaupun lebih 70 tahun selepas beliau membunuh diri di Berlin, teori yang digunakan oleh Nazi ini masih digunakan dan terbukti berkesan.

Di dalam Islam kita dikehendaki berhati-hati dengan berita-berita yang diterima dan menyemak kesahihannya (tabayyun). ‘Tabayyun’ ini sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujurat: 6)

Jika kita berpegang kepada firman Allah SWT ini, kita tidak akan terperangkap dengan teori Goebbels yang kerap diulang-ulang.

Kita juga kerap melakukan kesilapan apabila tidak memberi tumpuan kepada isu-isu yang akan memberi kesan jangka panjang. Kita terikut-ikut kepada rentak orang lain sehingga isu-isu yang akan memberi kesan kepada anak cucu kita tidak kita pedulikan atau tidak diberi sepenuh perhatian. Saya melihat kita banyak terlepas pandang terhadap isu-isu perumahan, perancangan dan kerajaan tempatan walhal kesannya kepada masyarakat adalah berpanjangan. Tetapi kita disibukkan dengan isu-isu sensasi yang seperti selebriti bergaduh malah isu-isu kedaulatan negara atau pencerobohan sempadan negara juga kadang-kala tidak diberi perhatian.

Kita juga kadang-kala tidak melihat kepada kesemua masalah-masalah yang berada di hadapan kita. Contohnya apabila berlaku banjir atau tanah runtuh, tindakan pertama kita adalah untuk menyelamatkan mangsa atau menghantar bantuan kepada mangsa. Ini adalah tindakan yang terpuji, membantu mereka yang tidak bernasib baik. Namun begitu ramai daripada kita yang terlupa tentang punca malapetaka tersebut. Siapa yang bertanggungjawab? Siapa yang salah? Bagaimana untuk memastikan ia tidak berulang? Jangan hanya tumpu kepada kepada kesan sahaja tetapi juga kepada punca. Tumpuan kita perlu seimbang dan menyeluruh. Begitu juga dengan isu-isu lain seperti jenayah, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
3 Disember 2021 – HARAKAHDAILY 3/12/2021

- Advertisement -