Galak rakyat terbabit program ‘Dapur Hijau’

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kenaikan mendadak harga barang keperluan asas meresahkan rakyat ketika mereka baru menarik nafas lega selepas pelbagai sektor ekonomi dibuka semula.

Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis, Nor Shahirah Mat Saleh berkata, sekarang bukan masa untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya perlu kerjasama mantap semua pihak bagi menangani kenaikan harga barang.

Katanya kerajaan boleh menyediakan program alternatif dengan menggalakkan rakyat bercucuk tanam di samping menyediakan input pertanian kepada mereka.

- Advertisement -

“Apabila ramai penduduk mampu menghasilkan sayur-sayuran bagi keperluan sara hidup ia dapat menghindarkan bergantung kepada orang tengah,” katanya di sini.

Menurutnya perkara itu pernah diketengahkan kerajaan sebelum ini dengan progam Buku Hijau dengan mengggalakkan rakyat bercucuk tanam.

Malah katanya usaha tersebut juga dilaksanakan di Kelantan dengan program Dapur Hijau di samping memberi input pertanian kepada penduduk untuk bercucuk tanam di halaman rumah.

Kata beliau melalui usaha tersebut penduduk tidak terbeban lagi dengan isu kenaikan harga sayur-sayuran yang sering dimanipulasi golongan peraih.

Menurut beliau juga pengguna perlu bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan menyalurkan maklumat mengenai kenaikan harga barang.

“Kenaikan harga barang juga memberi kesan kepada peniaga kecil yang baru memulakan perniagaan selepas terkesan akibat pandemic Covid-19,” ujarnya lagi.

Sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu kenaikan harga barangan satu isu yang kompleks dan perlu kerjasama semua pihak termasuk pembekal, pemborong dan peruncit.

Shahirah juga berkata, pembangkang kelihatan mahu menjuarai isu tersebut dengan mengemukakan usul di Dewan Rakyat, namun pelan tindakan tidak dinyata bagi membantu kerajaan menangani isu tersebut. – HARAKAHDAILY 3/12/2021

- Advertisement -