Anak muda perlu sukarela libatkan diri dalam politik

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Mahu atau tidak mahu, golongan anak muda hari ini perlu mengambil tahu dan memberi komitmen secara sukarela untuk melibatkan diri dalam dunia politik negara.

Pengarah Ameerah Negeri Perlis, Puteri Fatin Nuryuhada Megat Mohamad Halim berkata, perkara ini selari dengan tindakan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia yang telah mewartakan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik pada 2 Disember semalam.

- Advertisement -

“Ia sekaligus membuktikan penglibatan anak muda sangat penting dalam menentukan kepimpinan dan hala tuju negara di masa hadapan.

“Justeru, golongan ini wajib menambah ilmu tentang pendidikan politik agar mempunyai pendirian sendiri tanpa mudah dipengaruhi oleh mana mana pihak,” katanya.

Menurutnya, penyertaan aktif dalam politik juga menjadikan mereka lebih matang untuk menapis maklumat dan berita palsu yang disebarkan secara meluas. 

Beliau menyeru agar golongan berkenaan akan terus mengambil cakna dan menjadikan pengetahuan politik ini sebagai tanggungjawab bersama demi kesejahteraan pentadbiran negara pada masa hadapan.

Terdahulu, Setiausaha SPR, Dato’ Ikmalrudin Ishak berkata, pindaan kepada perundangan subsidiari berkaitan pilihan raya itu juga akan berkuat kuasa pada 15 Disember ini setelah mendapat perkenaan daripada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Seksyen 17 Akta Pilihan Raya 1958.

Pihaknya akan membentangkan kedua-dua pindaan peraturan-peraturan tersebut dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas (2021) dalam masa terdekat ini. – HARAKAHDAILY 3/12/2021

- Advertisement -