“Tidak mahu orang miskin berjumpa kita, kita perlu cari mereka’

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad mengingatkan kepada semua ketua dan warga agensi hal ehwal Islam di negara ini supaya turun padang untuk mencari golongan asnaf dan orang-orang miskin.

Ini kerana menurutnya, golongan berkenaan tidak seharusnya datang ke mana-mana pejabat untuk meminta bantuan.

“Saya tidak mahu orang miskin datang berjumpa kita, sebaliknya kita yang perlu cari mereka.

- Advertisement -

“Kita patut berasa berdosa apabila ada kes sebegini kerana individu itu amat susah pergi ke pejabat bagi memohon pertolongan dan kita pula bebankan mereka dengan birokrasi. 

“Orang miskin ini mereka kais pagi makan pagi, mereka memerlukan wang untuk (mengisi) petrol dan tambang untuk berjumpa dengan kita, jadi kita yang mesti pergi cari dia, santuni dia.

“Segala maklumat kita boleh dapat melalui e-Kasih, penghulu, masjid atau Baitulmal semuanya ada. Kalau tidak berdosa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertemuan Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Tahun 2021 di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee.

Dalam pada itu, Idris berkata, kementeriannya ketika ini hampir menyelesaikan keseluruhan petunjuk prestasi utama (KPI) dalam tempoh 100 hari pentadbiran.

Beliau mula memegang portfolio sebagai Menteri Hal Ehwal Agama bermula 1 September lalu.

“Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, sehingga 9 Disember ini, ada sebanyak 208 program yang bersifat ‘programme oriented’.

“Antara contoh terbaik ialah program Musa’adah Tijariyah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sudah berjaya membantu 1,000 usahawan berbanding sasaran 700 orang,

“Bukan setakat itu, dalam tempoh berkenaan juga kita telah meletakkan KPI untuk membantu seramai 700 usahawan dalam kalangan asnaf.

“Namun jumlah sebenar permohonan adalah 1,000 orang usahawan dengan pemberian modal perniagaan sebanyak RM3,000 menerusi program Musa’adah Tijariyah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM3 juta,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap GLC dapat bekerjasama terutama tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berbentuk pendidikan untuk anak-anak dari keluarga berpendapatan B40.

Antaranya, kata beliau seperti menaja pemasangan peranti jalur lebar atau wifi di masjid atau surau untuk memudahkan kanak-kanak mengikuti pembelajaran atas talian tanpa masalah besar.

“Langkah ini juga akan tarik mereka menunaikan solat fardu secara berjemaah, seumpama dua dalam satu, sekali gus mendekatkan kanak-kanak dan remaja kepada rumah Allah,” jelasnya.

Beliau yang pernah bertugas sebagai pensyarah universiti awam berkata, isu pendidikan amat penting kerana ia kunci utama bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup keluarga.

Bahkan jelasnya, dengan golongan itu sentiasa tidak tinggal solat wajib, ia akan memastikan akidah anak bangsa terpelihara daripada sebarang gejala yang tidak sihat dan kerosakan akhlak. – HARAKAHDAILY 2/12/2021

- Advertisement -