INDERA MAHKOTA: Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota telah mengadakan Program Singgah Warung yang kali ini berkunjung ke Warung Mee Calong Original Kak Teh di Kampung Pasir Garam, di sini kelmarin.
Program tertangguh sekian lama akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bertujuan menyantuni para penjaja makanan khususnya dan mengetahui perkembangan perniagaan mereka serta membantu promosi.
ADUN Beserah, Andansura Rabu juga selaku Yang Dipertua PAS Indera Mahkota turut bersama hadir dengan delegasi Muslimat untuk melihat sendiri usaha berdikari dan semangat keusahawan para penjaja tersebut.
“Program ini sangat baik dan berkesan serta perlu diteruskan lagi. Selain menunjukkan ‘izzah wakil PAS juga boleh merencana usaha membantu penambahbaikan peniaga wanita dari sudut pembangunan perniagaannya,” ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang telah memutuskan untuk menyumbang sehelai kain rentang mempromosikan perniagaan warung tersebut yang menepati citarasa ramai penduduk sekitar Beserah itu.
Andansura turut berpendapat, Muslimat PAS Indera Mahkota juga disaran memperluaskan aktiviti mereka itu dengan menyantuni sama masyarakat setempat dalam kalangan penduduk sebagai menzahirkan keberadaan PAS.
“Bagi Muslimat, kami akan terus berpegang teguh pada amanah pimpinan PAS tertinggi agar pertahankan Muafakat Nasional walaupun pelbagai isu telah dibicarakan oleh masyarakat umum selepas Pilihanraya Negeri Melaka,” kata Pengarah Program Singgah Warung, Nor Azni Wahab yang juga isteri Andansura.
Peniaga Warung Mee Calong Original Kak Teh, Tengku Faridah Tengku Mustaffa yang mesra dengan panggilan Kak Teh dalam menerima kunjungan itu menzahirkan rasa gembira dan penghargaan beliau.
“Kak Teh merasa beruntung, kunjungan YB dan rombongan hari ini adalah rezeki Kak Teh, maaf kedai Kak Teh sempit dan Kak Teh berniaga seorang (tidak pakai pekerja),” beritahunya.
Muslimat PAS Indera Mahkota memilih warung-warung yang diusahakan oleh golongan wanita dan pemilihannya adalah hasil daripada cadangan penduduk tempatan di mana aktiviti ini akan diteruskan selepas ini ke lokasi berbeza. – HARAKAHDAILY 2/12/2021