RM44.71 juta laksana program perumahan rakyat

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Bagi memastikan kesejahteraan dan keselesaan keluarga penduduk miskin kerajaan Kelantan menambah peruntukan Skim Rumah Dhuafat.

Skim rumah tersebut ditambah kepada RM10.67 juta tahun hadapan berbanding RM6.4 juta pada tahun 2020.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, berlaku peningkatan sebanyak RM4.27 juta atau 66.72 peratus berbanding tahun sebelumnya.

- Advertisement -

Menurutnya, ia sebahagian peruntukan RM44.71 juta untuk pelaksanaan program perumahan rakyat.

“Peruntukan itu meliputi RM20.08 juta untuk rumah mampu milik, RM10 juta untuk Tabung Perumahan dan RM3.96 juta untuk Rumah Asnaf dan Skim Tadahan Rahmat.

“Ia juga bagi menyiapkan 188 unit rumah mampu milik, 135 unit rumah Dhuafat dan 30 unit rumah asnaf,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2022 pada persidangan Dun hari ini.

Beliau juga berkata, Belanjawan 2022 turut melibatkan Skim Al-It’am yang meningkat sebanyak RM1.3 juta iaitu 26 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ia akan memberi manfaat 4,600 warga emas, 3,000 bakal pengantin, 42,000 armalah dan anak yatim, 13,520 penerima Skim Al-It’am dan 7,333 penerima Skim al-Musa’adah.

Selain itu juga menyaksikan peningkatan penerima skim al Musa’adah seramai 1,333 orang melibatkan pertambahan peruntukan sebanyak RM4 juta.

“Sebanyak RM46.25 juta diperuntukkan untuk Skim Kifaalah, Gerbang Az-Ziwaj, Bantuan Armalah dan Anak Yatim, Pembelaan Rakyat Miskin dan Skim Al-It’am.

“Memberi manfaat kepada 4,600 orang warga emas, 3,000 bakal pengantin, 42,000 armalah dan anak yatim, 13,520 penerima Skim Al-It’am dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/12/2021

- Advertisement -