PRN Sarawak: Jumlah kerusi PAS bertanding belum dimuktamad

PUTRAJAYA: Jumlah sebenar kerusi yang bakal ditandingi PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 masih menjadi tanda tanya.

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, setakat ini hanya mengesahkan bahawa parti itu bakal bertanding pada PRN Sarawak, namun enggan mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai perincian jumlah kerusi.

Menurut beliau, jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi oleh PAS hanya akan diketahui pada hari penamaan calon, 6 Disember ini.

Advertisement

“Setakat ini PAS akan bertanding, nanti hari penamaan calon kita tengok berapa kerusi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pertemuan Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Tahun 2021 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah keseluruhan kerusi yang ditandingi PAS pada PRN Sarawak.

Pada awal November lalu, media melaporkan PAS Sarawak menyatakan akan bertanding 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN12.

Penolong Setiausaha PAS Sarawak, Syamsul Bahrie Mohamad berkata, ia melibatkan DUN Kemena, Beting Maro, Semariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju.

Bagaimanapun pada Selasa, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah kerusi yang bakal dipertandingkan pada PRN Sarawak masih dalam penelitian dan parti itu akan bertanding kurang daripada 11 kerusi.

Menurut beliau, penyertaan PAS pada PRN Sarawak kali ini dijadikan sebagai kayu pengukur gerak kerja parti di negeri berkenaan. – HARAKAHDAILY 2/12/2021