Pinda Akta 265 untuk bela nasib pekerja p-hailing

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam usaha menjaga kebajikan pekerja p-hailing kini dalam proses meminda Akta Kerja 1955 (Akta 265) bagi memperjelaskan takrifan berhubung pekerja dan majikan.

Timbalan Menterinya, Dato’ Awang Hashim, berkata ketika ini, pekerja dalam sektor p-hailing tidak diliputi di bawah undang-undang itu.

- Advertisement -

Katanya, liputan Akta 265 adalah khusus kepada pekerja yang ditakrifkan di bawah Jadual Pertama Akta 265, iaitu yang memasuki kontrak perkhidmatan dan bersetuju untuk berkhidmat dengan majikan.

Bagaimanapun, Akta 265 ketika ini tidak meliputi hubungan kontrak perkhidmatan sebagaimana dimeterai oleh pekerja yang terlibat dalam kontrak bebas seperti sektor p-hailing.

“Cadangan pindaan ini adalah antara usaha kerajaan untuk memperjelaskan hubungan pekerjaan pada masa hadapan seperti dalam ekonomi gig,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang berkata, Akta 265 ketika ini mempunyai jurang, terutama dalam menentukan kategori kontrak, sama ada kontrak perkhidmatan atau kontrak untuk perkhidmatan.

Sehubungan itu, katanya KSM sedang mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti penyedia perkhidmatan dan pemain industri.

Katanya, ini bertujuan untuk melihat dengan lebih mendalam, sama ada terdapat keperluan untuk menggubal sebuah perundangan baharu, khusus untuk melindungi dan menjaga kepentingan serta kebajikan mereka yang terlibat dalam ekonomi gig.

Selain itu, katanya kerajaan akan memperhalusi bentuk perlindungan tambahan yang diperlukan oleh pekerja dalam ekonomi gig, yang meliputi sektor p-hailing bagi memastikan mereka menerima perlindungan sewajarnya.

“Bagaimanapun bagi menjaga kebajikan mereka, jaringan keselamatan sosial bagi pekerja sektor p-hailing disediakan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang dikuatkuasakan oleh PERKESO.

“Sejak 1 Oktober lalu, pekerja dalam sektor ini dikehendaki secara mandatori mendaftar dan mencarum di bawah Akta 789 sebagai antara pelan bagi memastikan mereka mempunyai perlindungan sosial kerana berisiko mengalami kemalangan ketika bekerja,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/12/21

- Advertisement -