Perbahasan ADUN Templer umpama tin kosong

Oleh USTAZ MOHAMED SUKRI OMAR

SAYA
meneliti sebaran video perbahasan oleh Mohd Sany Hamzan, ADUN Templer yang membangkitkan soal royalti negeri Kelantan dan kebiadabannya terhadap YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor juga ADUN Sijangkang.

Saya kira perbahasan Sany Hamzan ini tidak lain hanyalah seumpama tin kosong kerana hanya membuat bising dengan terpekik terlolong tanpa sebarang isi yang terkait dengan isu-isu di dalam negeri Selangor.

Advertisement

Konon nak menjadi ‘hero’ dalam membangkitkan soal royalti negeri Kelantan tapi hanya pekikan dan bising tanpa ada satu input yang digunakan bagi manfaat tempoh dalam membahaskan isu-isu setempat yang diwakili oleh beliau atau pun di peringkat negeri.

Malah beliau sendiri gagal memahami Peraturan Mesyuarat Dewan, maka apakah kredibiliti beliau yang diangkat sehingga melayakkan menjadi ADUN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu?

Lagipun, ternyata dari sikap beliau yang biadab terhadap Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mendedahkan watak sebenar beliau yang bukanlah hendak membela hak rakyat Kelantan dalam tuntutan royalti tetapi itu semua sandiwara politik yang menunjukkan naratif kebencian oleh beliau terhadap PAS yang ditinggalkan dengan menjadi ahli PAN bagi terus setia bersama rakan DAP dan PKR.

Sebab itu tidak pelik, Sany bertindak sedemikian sedangkan tanggungjawab terhadap isu-isu dalam negeri tidak pula dibangkitkan dan dibahaskan. Jangan jadikan mesyuarat DUN Selangor seperti kedai kopi jalanan yang hanya seronok bersembang tanpa ada tindakan.

Menjadi wakil rakyat bukanlah untuk seronok membuat bising dalam mesyuarat tetapi itulah pentingnya setiap wakil rakyat terlebih dahulu membuat ulang kaji, persiapan dan rangka ucapan yang ingin dibahaskan setiap kali diberikan ruang untuk berbahas. Bukan hanya memekik bising sahaja yang akhirnya masa berlalu begitu sahaja.

Saya kira rakyat Selangor adalah kalangan mereka yang intelek dan mampu menilai gelagat setiap wakil rakyat sekarang ini. Jika beginilah gelagat wakil rakyat yang dipilih dalam PRU/PRN akan datang, nescaya pentadbiran dan perjalanan negeri Selangor untuk terus maju tidak akan ke mana. Politik baharu yang ingin kita bawa ialah politik realistik bukannya sentimen emosi sahaja. Inilah pembaharuan dalam politik yang perlu diketengahkan.

Ustaz Mohamed Sukri Omar

Saya secara tegas sekali lagi menyelar sikap biadap Sany Hamzan atas keterlanjuran beliau terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor serta sikap keji beliau dengan mengumpan isu royalti Kelantan untuk dibina naratif dendam terhadap PAS dalam masa yang sama membazirkan tempoh ruang berbahas tanpa ada kepentingan bagi rakyat dan negeri ini. – HARAKAHDAILY 2/12/2021

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor.