Perak belum tetapkan jual air kepada Pulau Pinang

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Perak setakat ini masih belum membuat sebarang ketetapan untuk menjual bekalan air mentah kepada Pulau Pinang, menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kajian secara terperinci sedang dilakukan bagi memastikan tindakan itu tidak memberi kesan kepada bekalan air domestik di negeri ini.

- Advertisement -

“Belum ada apa-apa laporan dan kita tidak mahu tersilap membuat keputusan kerana dibimbangi ia menyebabkan kekurangan air di Perak.

“Secara rasminya tiada apa-apa perbincangan dibuat atau perjanjian mahupun persetujuan, melainkan ketika pertemuan tidak rasmi antara saya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang yang menyatakan hasrat mereka.

“Bagaimanapun saya sudah memberi jawapan bahawa hajat untuk mengambil bekalan air daripada Sungai Perak tidak boleh dilakukan dari atas empangan, kerana akan mengganggu kestabilan air untuk penjanaan janakuasa elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara PPPNP bersama Risda Livestock Sdn Bhd dan Pertubuhan Peladang Negeri Perak, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak hari ini.

Menurutnya keperluan air untuk kawasan penanaman padi di Bagan Serai juga tidak mencukupi pada waktu tertentu, kerana tidak dapat ditampung oleh air dari Tasik Bukit Merah.

“Kita mesti memberikan keutamaan kepada keperluan penggunaan domestik, bermakna kita tidak boleh mengambil jalan mudah jual air keluar, nanti orang Perak marah,” katanya.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang berlangsung pada hari ini memaklumkan bahawa, kerajaan negeri itu masih menunggu maklum balas dari kerajaan Pusat berhubung hasrat negeri itu membeli air mentah dari Perak menerusi projek SPRWTS. – BERNAMA

- Advertisement -