PAS akan ketengah masalah penduduk Centrio Avenue

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP terus ghairah membangunkan kediaman mewah, namun mengabaikan isu-isu perumahan dan pendudukan melibatkan rakyat yang kurang berkemampuan.

Selepas melenyapkan penempatan tradisi dan warisan yang telah lama wujud serta secara tidak langsung menjadi satu bentuk pengusiran strategik, masalah melibatkan rumah rakyat miskin tidak diselesaikan sewajarnya.

- Advertisement -

Penghuni Centrio Avenue iaitu pangsapuri kos sederhana di Taman Bukit Gambier, Gelugor khususnya pemilik unit tingkat teratas telah sekian lama berdepan keadaan siling dan dinding yang bocor di mana memerlukan pembaikan.

Malangnya, keadaan sejak mula memasuki kediaman tersebut pada tahun 2015 tidak pernah ditangani walaupun aduan telah dibuat berkali-kali kepada pemaju, ADUN dan Exco Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Hinggalah pada tahun 2018, kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan bersama wang dari Tabung Penyelenggaraan milik penduduk dengan jumlah keseluruhan RM123,055 bagi memperbaiki kerosakan berkenaan.

Malangnya, selepas dilantik kontraktor, keadaan tetap tidak berubah dan apabila keadaan itu dipanjangkan kepada pihak pengurusan yang berkaitan, tetapi aduan tersebut kata penduduk, tidak lagi dihiraukan.

Buntu dengan keadaan tersebut, penduduk mengharapkan masalah mereka itu dapat disuarakan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui PAS Pulau Pinang sempena Persidangan DUN yang berlangsung.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff telah menerima serahan memorandum untuk dipanjangkan kepada pihak kerajaan negeri di luar pekarangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, di sini kelmarin.

Menurut pihak penduduk, mereka berharap PAS Pulau Pinang dapat memberikan tekanan kepada pihak berkenaan untuk menyelesaikan masalah tersebut serta dipanjangkan kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mereka juga meluahkan kebimbangan dengan situasi dihadapi terutama ketika musim hujan di mana air akan mengalir masuk ke dalam rumah, selain menyebabkan risiko kerosakan atau kebakaran kerana renjatan elektrik.

Terdahulu, pimpinan PAS Pulau Pinang telah hadir sendiri melihat masalah tersebut antaranya Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah yang juga ADUN Penaga dan Setiausaha, Iszuree Ibrahim.

Turut bersama adalah Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Orang Asal, Yaacob Omar dan Pengerusi DHPP, K Jayaraman serta Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gelugor, Mazlan Pawanchik. – HARAKAHDAILY 2/12/2021

- Advertisement -