Orang Islam itu adil kecuali yang ada kes

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 21)

Advertisement

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

MANUSIA dilahirkan dalam keadaan merdeka. Mereka tidak menanggung dosa sendiri atau dosa silam dari orang terdahulu. Apabila dewasa, mereka yang Islam dianggap adil, juga demikian. Tidak meletakkan kesalahan kepada mereka yang tidak bersalah, itulah ciri keadilan Islam.

Saidina Umar al-Khattab sangat memahami perkara ini. Di dalam suratnya kepada Abu Musa al-Asy’ari, beliau menulis:
المسلمون عدول بعضهم على بعض إلا مجربا عليه شهادة زور او مجلودا في حد أو ظنينا في ولاء أو قرابة، فإن الله تعالى تولى من العباد السرائر وستر عليهم الحدود الا بالبينات و الأيمان

‘Orang Islam itu adil di antara satu sama lain, melainkan telah berlaku kepadanya penyaksian bohong, atau disebat kerana kes hudud, atau dituduh berkaitan memerdekakan hamba atau kaum-kerabat. Sesungguhnya Allah yang mengurus rahsia seseorang. Dia menutup kesalahan mereka melainkan mesti mendatangkan bukti dan sumpah.’

Seorang Islam diterima keterangannya jika tidak pernah diketahui dia ada kes sebelumnya yang menyebabkannya menjadi fasiq. Kita pula tidak disuruh mencari-cari aib dan kesalahan orang lain. Keterangannya di mahkamah tidak diterima jika dia pernah menjadi saksi bohong. Allah melarang keras dari seseorang menjadi saksi bohong dalam sesuatu perbicaraan kes kerana tentunya ia akan memberi kesan terhadap hukuman yang bakal dijatuhkan oleh hakim. Hukum menjadi saksi bohong pula dikira dosa besar dalam Islam.

Orang yang dihukum hudud juga tidak diterima keterangannya. Mereka yang ada kaitan kaum-kerabat juga tidak diterima keterangannya kerana mungkin boleh berlaku ‘bias’ kepada keputusan mahkamah.

Dalam perkara di atas, kita dapat melihat bagaimana Islam memandang berat terhadap kriteria mereka yang memberikan keterangan di mahkamah kerana ia melibatkan harga diri, maruah, nyawa manusia lain yang didakwa. Jelas, Islam sangat adil dalam sistem kehakimannya yang melibatkan pihak-pihak yang bertikai.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 2/12/2021