Keluaran graduan perubatan tempatan ikut unjuran kerajaan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pelan Strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2016 – 2020 menetapkan sasaran nisbah doktor perubatan kepada penduduk di negara ini menjelang tahun 2025 adalah sebanyak 1:400.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad, berkata bagi mencapai nisbah itu, purata keperluan tambahan setiap tahun adalah seramai 4,000 orang.

- Advertisement -

Pada tahun lalu, katanya seramai 2,967 orang graduan perubatan dihasilkan oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan, iaitu 958 orang graduan dari Universiti Awam (UA) dan 2,009 orang graduan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Berdasarkan statistik sedia ada, keluaran graduan perubatan tempatan berada di bawah unjuran keperluan KKM. Bagaimanapun, mengikut Akta Perubatan 1971, semua graduan perubatan, termasuk dari luar negara wajib mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) untuk menjalani khidmat wajib.

“Bagi memastikan satu imbangan yang sihat antara keperluan dan permintaan pasaran kerja dan aspirasi negara, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dari semasa ke semasa memantau pengambilan pelajar Sarjana Muda Perubatan, yang kini ditetapkan berdasarkan kepada kapasiti IPT dan tertakluk kepada kuota yang ditetapkan oleh MPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Noraini berkata, antara langkah KPT bagi memastikan imbangan yang sihat antara keperluan dan permintaan pasaran kerja dan aspirasi negara ialah melaksanakan penilaian kapasiti pengambilan pelajar perubatan di IPT setiap lima tahun.

Katanya, ini dilaksanakan berdasarkan penilaian ketat oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk memastikan jumlah pengambilan pelajar yang munasabah mengikut keperluan semasa negara.

Ketika ini, katanya kapasiti pengambilan pelajar perubatan di IPT dalam negara adalah berdasarkan kuota sedia ada, iaitu sebanyak 4,820 pelajar bagi semua IPT.

“Bagi memperkemas mekanisme kelulusan penubuhan fakulti dan penawaran program baharu perubatan, Jawatankuasa Teknikal Program Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.

“Jawatankuasa turut dianggotai oleh wakil KKM, MPM, Majlis Pergigian Malaysia, Majlis Dekan Perubatan, Majlis Dekan Pergigian dan MQA. Jawatankuasa ini turut berperanan menilai semula permohonan baharu,” katanya.

Sementara itu, bagi Program Undang-Undang, katanya pada tahun 2020, seramai 1,704 orang graduan dikeluarkan oleh IPT tempatan, iaitu 1,098 orang graduan UA dan 606 orang graduan IPTS dan ketika ini, moratorium program undang-undang yang dilaksanakan hampir 15 tahun masih berkuat kuasa.

Secara relatifnya, katanya nisbah peguam kepada penduduk di Malaysia adalah selaras dengan nisbah peguam kepada penduduk di beberapa negara lain.

Berdasarkan Laporan Kajian Semakan Semula Moratorium Undang-Undang 2017, katanya United Kingdom yang mempunyai penduduk seramai 63.74 juta orang mempunyai nisbah peguam kepada penduduk sebanyak 1:500 dan bagi Korea Selatan, 1:3,891 manakala Singapura, 1:1,203.

“Berdasarkan unjuran peningkatan penduduk negara ini, seorang peguam berkhidmat kepada 1,305 penduduk (1:1,305) pada tahun 2020 berbanding 1:1,857 pada tahun 2016,” katanya.

Beliau berkata, KPT juga sedang menjalankan Kajian Impak dan Hala Tuju Pengajian Undang-Undang di Malaysia bagi meneliti impak moratorium terhadap graduan undang-undang serta mengenal pasti cadangan penambahbaikan bagi memantapkan lagi penawaran program undang-undang. – HARAKAHDAILY 2/12/21

- Advertisement -