Kelantan wujud 12 Pusat Aktiviti Warga Emas

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri mempunyai pelan jangka masa pendek dan jangka masa panjang bagi memastikan kebajikan golongan warga emas, wanita dan Orang Kelainan Upaya (OKU) terjaga di era pandemik sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, sebanyak 49 perancangan disediakan bagi tujuan tersebut.

- Advertisement -

Katanya kebajikan untuk golongan warga emas terdapat sebanyak lapan perancangan, di mana tiga daripadanya perancangan jangka masa pendek, manakala lima lagi perancangan jangka masa panjang.

“Bagi perancangan jangka masa pendek antaranya membangun Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) iaitu terdapat 12 pusat di seluruh Kelantan bagi memastikan warga emas sentiasa sihat dan aktif.

“Manakala bagi perancangan jangka masa panjang pula antaranya, penggubalan Dasar Warga Emas Mukramun Negeri Kelantan yang siap digubal Mac 2021 dan mula diinduksikan pada 22 November lepas,” katanya menjawab soalan Mohd Fauzi Abdullah (PAS-Manek Urai) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini.

Mumtaz juga berkata, bagi golongan wanita terdapat sebanyak 14 perancangan dirangka bagi memastikan kebajikan golongan itu terbela.

Manakala sebanyak 27 perancangan keseluruhan dirangka untuk kebajikan golongan OKU.

“Sebanyak sembilan perancangan jangka masa pendek dan 18 perancangan jangka masa panjang bagi golongan OKU seperti agihan bakul makanan, Caruman Skim Takaful Rahmah OKU terlantar dan Majlis Penasihat OKU Negeri Kelantan,” katanya.

Menurutnya juga jumlah perbelanjaan Skim Khairat Kifaalah bagi 2021 setakat ini berjumlah RM4.1 juta dengan melibatkan 4,115 penerima. – HARAKAHDAILY 2/12/2021

- Advertisement -