KDN kaji pelbagai elaun supaya kekal relevan

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji kadar elaun sedia ada pelbagai jabatan dan agensi di bawah kementerian bagi memastikan kekal relevan.

Usaha juga dilakukan untuk memanjangkan elaun sedia ada kepada jabatan dan agensi berkenaan yang melaksanakan tugas setara bagi memastikan kesaksamaan dalam pemberian elaun dan memohon elaun baharu berdasarkan keunikan tugas anggota penguatkuasa.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin, berkata antara elaun yang sedang dikaji ialah bayaran insentif jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM), kenaikan kadar bayaran insentif menyelam (PDRM), kenaikan kadar bayaran insentif Pasukan Simpanan Persekutuan (PDRM), memanjangkan bayaran insentif penguatkuasa (Jabatan Imigresen).

Katanya, turut dikaji ialah kenaikan kadar dan pemanjangan bayaran insentif pengawasan banduan (Jabatan Penjara), bayaran insentif Unit Trup Tindakan Cepat (Jabatan Penjara) dan kenaikan kadar bayaran insentif pengawasan pelatih di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Agensi Antidadah Kebangsaan).

“Bagi menjaga kebajikan anggota penguatkuasa yang terlibat sebagai barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19, elaun khas sebanyak RM200 sebulan telah dibayar kepada lebih 60,000 anggota penguatkuasa.

“Ini membabitkan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Agensi Antidadah Kebangsaan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Eastern Sabah Security Command,” katanya menjawab soalan lisan Sabri Azit (PAS-Jerai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah terkini bagi semakan elaun anggota polis dan anggota penguatkuasa jabatan dan agensi bawah KDN yang perlu bersesuaian dengan peningkatan kos sara hidup sekarang.

Jonathan berkata, KDN secara berterusan mengkaji dan menambah baik elaun serta kemudahan lain bagi membantu anggota penguatkuasa, terutama yang berpangkat rendah dalam menangani kos sara hidup yang kian meningkat.

Bagi memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terbela, katanya kerajaan pada 2019 telah menambah baik pelaksanaan pemberian elaun dalam perkhidmatan awam selaras dengan hala tuju semasa perkhidmatan awam dan keperluan persekitaran yang dinamik.

Katanya, ini dilaksanakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 di bawah Pengukuhan Pelaksanaan Pemberian Elaun Dalam Perkhidmatan Awam bagi Sistem Saraan Baru (SSB) 1992 dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) 2002.

“Menerusi pekeliling ini, kerajaan menyemak dan mengukuhkan pelaksanaan pemberian elaun agar kekal relevan dan memenuhi keperluan perkhidmatan dan memastikan kebajikan penjawat awam terbela,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/12/21

- Advertisement -