Ibu bapa terpaksa berhutang hantar anak ke Mesir

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Ada ibu bapa yang terpaksa berhutang semata-mata untuk mempastikan anak mereka dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Oleh itu Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menasihatkan pelajar anak Kedah yang belajar di Kaherah, Mesir hendaklah belajar bersungguh-sungguh bagi membalas pengorbanan ibu bapa mereka.

“Ibubapa menghabiskan duit yang banyak untuk menghantar kita belajar. Ada yang terpaksa jual tanah, kereta, lembu dan lain-lain untuk memastikan anak mereka dapat belajar ke peringkat lebih tinggi.

Advertisement

“Apa yang ibu bapa kita lakukan semata-mata untuk mempastikan kita dapat belajar di sini (Mesir),” katanya di hadapan kira-kira 350 pelajar anak Kedah yang hadir di Kaherah semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis Ramah Mesra Menteri Besar dan Delegasi Kerajaan Negeri bersama anak-anak Kedah.

Menurutnya menjadi tanggungjawab anak belajar bersungguh-sungguh dan membawa pulang kejayaan sebagai membalas pengorbanan ibu bapa mereka.

Selain itu, Sanusi berharap ilmu dan kemahiran yang diperolehi dapat digunakan untuk manfaat rakyat dan negara.

Sementara itu pada majlis berkenaan, pelajar yang mendapat keputusan terbaik (mumtaz) menerima hadiah dan sumbangan daripada menteri besar.

Menteri Besar bersama delegasi bertolak ke Mesir pada 26 November lalu untuk lawatan kerja. Sebelum ini rombongan berkenaan mengunjungi hormat ke pejabat Duta Malaysia di Mesir dan Rumah Malaysia Kaherah. – HARAKAHDAILY 2/12/2021