Bantuan kewangan kepada IWK untuk tampung kos operasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bantuan kewangan kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) adalah bagi menampung kos operasinya yang tidak boleh ditampung melalui kutipan tarif, kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata kementerian itu menjangkakan bantuan kewangan kepada IWK dapat dikurangkan secara berperingkat setelah syarikat itu melaksanakan program bagi mencari dana menampung projek termasuk menyemak semula tarif pembentungan.

- Advertisement -

“Saya nak beri jaminan, semakan kita akan berikan keutamaan kepada mereka yang susah untuk tidak menanggung kos kenaikan itu dan kita akan tampung melalui program-program lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengenai persoalan mengapa Sabah membuat pinjaman bekalan air dan tidak melalui geran, Tuan Ibrahim berkata semua pembangunan air kawasan luar bandar akan diinovasi atau ditukar dalam bentuk geran bagi negeri-negeri yang melakukan migrasi kepada kerajaan Persekutuan.

Katanya, bagi negeri yang tidak melakukan migrasi akan kekal dalam bentuk pinjaman yang diberikan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri, selain menyatakan setakat ini hanya Terengganu, Sabah dan Sarawak yang belum melakukan migrasi.

Walaupun bukan dalam bentuk geran, beliau berkata pinjaman paling besar untuk menyelesaikan masalah air adalah diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak, dengan kerajaan akan memastikan projek-projek di peringkat negeri seperti pelantikan kontraktor dan pemantauan projek diuruskan syarikat air negeri.

Kepada celahan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) mengenai negeri Kedah yang telah melaksanakan migrasi namun masih mempunyai pinjaman RM45.1 juta, Tuan Ibrahim berkata kerajaan akan menilai aset sedia ada bagi negeri yang melakukan migrasi.

“Kita akan menilai aset sedia ada dan aset itu sebagai jaminan kepada peruntukan yang diberikan kepada negeri setelah kita tolak semua kos pembangunan air di luar bandar.

“…tetapi sesetengah negeri hutangnya mungkin ada dalam RM2 bilion ke RM3 bilion dan setelah kita tolak kos pembangunan air luar bandar, mungkin dia akan dapat pengecualian pelepasan hutang sebanyak RM2 bilion manakala RM1 bilion lagi masih dianggap sebagai hutang kerana ia tidak termasuk kategori pembangunan air luar bandar,” katanya.

Sesi perbahasan itu yang disertai 18 Ahli Parlimen kemudian menyaksikan Dewan Rakyat meluluskan RM565,535,200 anggaran perbelanjaan mengurus bagi KASA dalam Bajet 2022 dengan lebih suara menyokong.

Terdahulu, Dewan Rakyat turut meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM256,601,400 kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dalam Bajet 2022.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. – BERNAMA

- Advertisement -