AS negara penyumbang sisa plastik terbesar global

- Advertisement -

WASHINGTON: Amerika Syarikat merupakan negara penyumbang terbesar sisa plastik global, menurut laporan baharu yang dikemukakan kepada kerajaan pesekutuan negara itu pada hari Rabu (1 Dis), yang menggesa strategi nasional untuk menangani krisis yang semakin meningkat.

Secara keseluruhannya, AS menyumbang kira-kira 42 juta tan sisa plastik pada tahun 2016,  lebih dua kali ganda berbanding China dan lebih daripada gabungan negara-negara Kesatuan Eropah (EU), menurut analisis laporan berjudul, Reckoning with the US Role in Global Ocean Plastic Waste.

- Advertisement -

Laporan berkenaan diberi mandat oleh Kongres sebagai sebahagian daripada Akta Save Our Seas 2.0, yang menjadi rang  undang-undang pada Disember 2020.

Menurut laporan tersebut, secara purata, setiap warga AS menjana 130 kilogram sisa plastik setahun, dengan Britain seterusnya dalam senarai pada 99kg setiap orang setahun, dan diikuti oleh Korea Selatan pada 88kg setahun, lapor CNA.

“Kejayaan hasil ciptaan daripada bahan plastik pada abad ke-20 juga telah menghasilkan pengumpulan skala besar global sisa plastik yang kelihatan di mana-mana sahaja,” tulis Ketua Pegawai Sains Monterey Bay Aquarium, Margaret Spring yang mempengerusikan jawatankuasa pakar yang menyusun laporan berkenaan.

Tambah beliau, sisa plastik global dilabelkan sebagai ‘krisis alam sekitar dan sosial’ yang memberi kesan kepada komuniti pedalaman dan pantai, sungai yang tercemar, tasik dan pantai, meletakkan beban ekonomi kepada masyarakat, hidupan liar yang terancam dan perairan tercemar yang merupakan lokasi manusia untuk mendapatkan sumber makanan.

“Pengeluaran plastik global meningkat daripada 20 juta tan pada 1966 kepada 381 juta tan pada 2015 – peningkatan 20 kali ganda dalam tempoh setengah abad,” kata laporan itu.

Laporan itu turut menyebut bahawa sebelum ini, fokus terhadap sisa lautan tertumpu semata-mata kepada sumber berasaskan kapal dan marin, tetapi kini diketahui bahawa hampir mana-mana plastik di darat berpotensi untuk sampai ke lautan melalui aliran sungai. – HARAKAHDAILY 2/12/2021

- Advertisement -