Tiada jangkitan penyakit khusus pada bulan Safar

HADIS dan fatwa telah pun jelas mengenai larangan mandi Safar dan mempercayai kesialan pada bulan tertentu seperti mandi Safar ataupun percaya kepada burung hantu dan seumpamanya.

Dalam ilmu perubatan pun tidak ada kejadian yang spesifik yang dikaitkan dengan bulan-bulan tertentu sehingga kita terpaksa mengambil langkah yang lebih supaya tidak ditimpa oleh sial dari bulan berkenaan. Tapi kita dikehendaki untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga demi menjaga kesihatan tanpa mengira masa, bulan, tempat dan ketika.

Advertisement

Pernah tersebar satu kepercayaan karut yang mengaitkan bulan gerhana dengan penyakit kulit dan penyakit kecacingan di kalangan kanak-kanak. Jika dikaji dari sudut kajian saintifik memang tiada pun bukti bahawa gerhana bulan boleh menyebabkan penyakit kulit atau cacing.

Penyakit kulit dan cacing di kalangan kanak-kanak berlaku sepanjang masa. Bahkan penyakit cacing pun sudah agak berkurang kerana kita sudah menjaga kebersihan dan sistem sanitasi yang begitu tersusun. Ianya berbeza di zaman dahulu yang membuang najis di merata tempat. Ketakutan tertentu manusia di zaman tersebut menyebabkan membuat rekaan penyakit pada peristiwa bulan.

Trend peningkatan penyakit tertentu di bulan tertentu memang wujud, tetapi trend itu kita boleh agak apakah penyebabnya. Awal bulan Syawal, kes cirit-birit meningkat sebab makan juadah raya berlebihan sehingga perut meragam. 

Di bulan-bulan atau musim durian, rambutan, duku pula, kes kemasukan ke wad akibat darah tinggi kencing manis meningkat. Sebab pesakit tak makan ubat, risau berlawan dengan buah-buah itu. Sekali gus makan buah tersebut meningkatkan gula dalam darah.

Andai kata hamil itu sejenis penyakit (buatan orang), trend ibu hamil dan bersalin akan meningkat pada bulan September. Sebab perkahwinan biasanya berlangsung akhir tahun, 9 bulan sebelumnya. Tetapi sekarang trend itu sudah semakin pupus, sebab orang zaman sekarang kahwin dah tak kira bulan dah.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 1/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/389197642577499/posts/461430525354210

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.