Merealitikan kepercayaan terhadap hari kebangkitan

- Advertisement -

SUDAH menjadi pegangan bagi umat Islam terhadap wujudnya hari akhirat. Ia berbeza dengan Atheisme, Nihilisme dan lain-lain. Ideologi-ideologi seperti ini menganggap bahawa kehidupan itu hanya sekadar di dunia sahaja. Manakala akhirat itu tiada. Hal ini mengheret manusia kepada cara berfikir yang salah.

- Advertisement -

Firman Allah Taala:

 وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ وَمَا لَهُمْ بِذَلِكَ مِنْ عِلْمٍ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ 

“Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.”

 (al-Jathiah: 24)

Imam Ibn Kathir menghuraikan ayat ini dengan menyatakan: 

يخبر تعالى عن قول الدهرية من الكفار ومن وافقهم من مشركي العرب في إنكار المعاد {وقالوا ما هي إلا حياتنا الدنيا نموت ونحي} أي ما ثم إلا هذه الدار, يموت قوم ويعيش آخرون, وما ثم معاد ولا قيامة, وهذا يقوله مشركو العرب المنكرون المعاد, وتقوله الفلاسفة الإلهيون منهم, وهم ينكرون البداءة والرجعة, وتقوله الفلاسفة الدهرية الدرية المنكرون للصانع, المعتقدون أن في كل ستة وثلاثين ألف سنة يعود كل شيء إلى ما كان عليه, وزعموا أن هذا قد تكرر مرات لا تتناهى, فكابروا المعقول وكذبوا المنقول

Allah Taala mengkhabarkan mengenai perkataan kaum Dahriyyah, daripada kaum kafir dan mereka yang mempunyai pemikiran yang sama dengan mereka daripada golongan Musyrikin Arab yang mengingkari hari kiamat. Sebahagian mereka adalah falsafah ketuhanan yang menolak penciptaan dan kehidupan lepas mati. Sebahagian mereka juga ialah golongan falsafah Dahriyyah yang mengingkari Tuhan yang menciptakan dengan kepercayaan bahawa setiap 36,000 tahun semua benda akan menjadi seperti asalnya. Mereka mendakwa hal ini sudah berulang banyak kali dan tidak akan berakhir. Maka ini mustahil bagi dalil aqal dan dinafikan oleh dalil naqli.”

Antara kesan ketidakpercayaan terhadap akhirat ialah kehidupan seseorang itu akan menjadi kosong. Tidak tahu hala tuju hidupnya. Menjadikan manusia itu tidak mahu mati. Loba mengumpul kekayaan dunia. Jiwa mereka pastinya tidak tenteram.

Firman Allah S.W.T:

 وَقَالُوا إِنْ هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ 

Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati.”

(al-An’am: 29)

Fitrah manusia inginkan keadilan

Kenapakah akhirat itu wujud? Kita perlu sedar bahawa Allah S.W.T yang mencipta fitrah manusia, dan Dia jualah yang mengaturkan hidup manusia. FirmanNya;

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ

“Maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu;”

(Rum: 30)

Kita perlu sedar, manusia itu fitrahnya inginkan keadilan terhadap dirinya. Manusia bencikan sebarang bentuk kezaliman terhadap dirinya. Dunia Barat memperkenalkan pelbagai ideologi seperti Liberalisme, Anarkisme, Sosialisme, Humanisme dan sebagainya bertujuan untuk mendapatkan keadilan untuk diri mereka kononnya. 

Namun, ideologi-ideologi ini sendiri telah melahirkan penindasan dan kezaliman. Begitulah yang terjadi sepanjang sejarah Barat. Sebab itulah, Islam memperkenalkan konsep keadilan yang sebenar. Antaranya melalui sistem Ekonomi Islam, Undang-undang Jenayah Syariah dan sebagainya

Realiti yang berlaku sepanjang sejarah, apabila seorang raja yang melakukan kezaliman, akan mewariskan takhta kepada anaknya. Kemudian, anaknya pula meneruskan kezaliman bapanya. Manakala rakyat yang dizalimi, dan keturunannya juga dizalimi zaman berzaman.

Mereka yang dizalimi, tidak mampu untuk membalas kezaliman sang raja itu. Lalu, apabila sampai ajal, raja itu boleh mati dengan selesanya tanpa terbalas segala kezalimannya itu. Rakyat yang dizalimi pula, apabila mati, tidak mampu membalas kezaliman sang raja itu. Begitulah generasi demi generasi.

Realiti Dunia Barat ini menjadikan hidup manusia itu serba tidak tenang. Jiwa mereka meronta-ronta untuk membalas kezaliman, namun tiada jalan merealisasikannya melainkan dengan kekerasan dan pelampauan. Sebab itulah Dunia Barat penuh dengan dendam kesumat, dan revolusi-revolusi yang me’liar’.

Islam berbeza dengan Kristian

Kita perlu sedar bahawa fitrah manusia itu ingin menuntut keadilan terhadap dirinya. FirmanNya;

اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى

“Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.”

(al Maidah: 8)

Justeru, Islam datang dengan membawa konsep ‘akhirat’, supaya jiwa manusia itu menjadi tenang. Hari akhirat itulah hari pembalasan bagi segala kezaliman. Konsep ini berbeza dengan Kristian. Tidak dinafikan, Kristian juga ada membawa konsep akhirat, namun ia disulam dengan unsur-unsur pencanduan.

Kristian menggunakan konsep ‘candu’ sepertimana yang dikatakan oleh Karl Marx. Karl Marx menyatakan agama itu candu, kerana apabila ada sang raja melakukan kezaliman terhadap rakyatnya, lalu para paderinya akan memujuk rakyat untuk bersabar, dan jangan lawan pemerintah. Para paderi akan menyulam pujuk rayu mereka dengan janji syurga dan sebagainya.

Konsep ini berbeza dengan Islam, ini kerana Islam menggesa umatnya untuk mencegah kemungkaran, sekalipun ia dilakukan oleh pemerintah. Dalam masa yang sama, Islam menerapkan konsep akhirat bukan untuk dicandukan, akan tetapi untuk menjadikan jiwa manusia itu yakin bahawa di sana ada hari pembalasan.

Apabila seseorang itu yakin bahawa di sana ada hari pembalasan, maka sesiapa yang melakukan kezaliman, pasti akan dibalas. Begitu juga mereka yang membiarkan kemungkaran bermaharajalela, juga akan dibalas. Ini kerana, membiarkan kemungkaran itu juga sebahagian daripada unsur yang menyuburkan kezaliman itu sendiri.

Di sinilah pembeza antara Islam dan Kristian dari sudut kepercayaan terhadap akhirat. Masyarakat Barat yang berada di bawah pemerintahan bergereja di era Dark Ages, merasakan bahawa tiada solusi terhadap kezaliman pemerintah. Kezaliman demi kezaliman itu berpanjangan. 

Hal ini menyebabkan mereka semakin menyampah dengan pencanduan gereja, dan apa jua unsur agama. Ini kerana sepertimana yang saya sebutkan, fitrah manusia itu ingin menuntut keadilan untuk dirinya, dan benci sebarang bentuk kezaliman terhadap dirinya. 

Apabila gereja ‘membela’ kezaliman pemerintah, sekalipun menunggang konsep akhirat, maka gereja pun digulingkan bersama-sama pemerintah zalim pada era Reinassance. FirmanNya;

 كَانُوا لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

“Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.”

 (al-Maidah: 79)

Membuktikan penciptaan manusia

Akhirat adalah satu fenomena kebangkitan semula manusia. Rata-rata manusia itu kalau ‘sembang’ nak tuntut keadilan, mereka akan setuju. Tapi apabila diceritakan bahawa hari untuk menuntut keadilan itu bakal berlangsung selepas mati, mereka akan fikir panjang untuk mempercayainya. 

Ini kerana, apabila memikirkan mengenai kehidupan selepas mati, mereka sukar untuk percaya bagaimana jasad manusia yang sudah mereput itu akan hidup semula? Sepertimana yang biasa saya nyatakan, al-Quran bukan hanya sekadar menyatakan wujudnya adanya kehidupan selepas mati, tetapi al-Quran juga berhujah secara logik untuk membuktikannya.

Allah S.W.T berfirman;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ وَنُقِرُّ فِي الْأَرْحَامِ مَا نَشَاءُ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ۖ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِن بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا ۚ وَتَرَى الْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنبَتَتْ مِن كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ 

“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) mengenai kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.”

 (al Hajj: 5)

Hujah yang digunakan oleh Allah S.W.T di dalam ayat ini, ialah dengan membuktikan bahawa Allah S.W.T mampu mencipta manusia daripada tiada menjadi ada. Allah S.W.T menceritakan proses penciptaan manusia secara terperinci ini sebagai bukti bahawa Allahlah yang mencipta manusia. 

Sekiranya manusia tidak percaya hakikat itu, kajilah sendiri proses itu. Masing-masing ada otak, gunakanlah. Sudah pasti, kajian itu sama dengan apa yang diceritakan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran. Ini membuktikan bahawa Dialah yang mencipta manusia. Iaitu penciptaan manusia daripada ‘tiada’ menjadi ‘ada’. 

Hidup selepas mati itu terbukti

Berdasarkan ayat 5 Surah al Hajj, menggambarkan bahawa Allah S.W.T mampu mencipta manusia daripada tiada, menjadi ada. Manakala kebangkitan manusia selepas mati, sudah pasti lebih mudah daripada itu. Maka, dengan mudahnya kita dapat membuktikan wujudnya kehidupan selepas mati.

Di dalam ayat yang lain, Allah S.W.T menggambarkan hujah ini dengan berfirman;

أَوَلَمْ يَرَ الإِنسَانُ أَنَّا خَلَقْنَاهُ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ (77) وَضَرَبَ لَنَا مَثَلاً وَنَسِيَ خَلْقَهُ قَالَ مَنْ يُحْيِي الْعِظَامَ وَهِيَ رَمِيمٌ (78) قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِي أَنشَأَهَا أَوَّلَ مَرَّةٍ وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ (80)

“Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati), (77) Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (mengenai kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?” (78) Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);(79)”

(Yasin:78-79)

Di dalam ayat yang lain;

وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ

“Dan Dialah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya.”

(Rum: 27)

Apabila Allah S.W.T telah membuktikan penciptaan manusia dan segalanya bermula daripada tiada menjadi ada, maka tak logik kalau kita katakan Allah S.W.T tak mampu hidupkan sesuatu yang telah mati. Bahkan, secara logiknya, untuk mengembalikan nyawa manusia itu jauh lebih mudah berbanding menciptakannya daripada tiada.

Justeru, kehidupan selepas mati ini terbukti secara akal. Hari pembalasan bagi segala kejahatan pastinya bukan satu fantasi bagi mereka yang mengkaji penciptaan manusia. Sebab itulah Allah S.W.T menyuruh kita menggunakan otak untuk mengkaji dan meneliti bukti-bukti ini, agar membentuk cara berfikir yang betul.

Syurga neraka bukan fantasi

Islam bukanlah agama fantasi, yang terbina atas dasar goreng dan angan-angan. Akan tetapi, Islam adalah agama yang real. Setelah Allah S.W.T membuktikan kehidupan selepas mati itu secara logik, Allah S.W.T menceritakan lagi mengenai syurga neraka. 

Ramai yang menghuraikan syurga neraka itu secara fantasi, dan bagaimanakah untuk menghuraikannya secara realiti? Kita semua sedia maklum bahawa syurga dan neraka itu adalah gambaran keadilan Allah S.W.T. Mereka yang melakukan kebaikan, memang sepatutnya dibalas dengan baik, dan begitulah sebaliknya. 

Dalam masa yang sama, Allah S.W.T menyuruh manusia untuk berlaku adil. Antaranya firmanNya;

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُواْ ۚ ٱعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. 

(al Maidah: 8)

Logikkah jika dikatakan Allah S.W.T itu menyuruh kita berlaku adil, tetapi Dia sendiri tidak adil? Justeru, tak logik untuk dikatakan Allah S.W.T membiarkan orang zalim itu mati dalam keadaan selesa, tidak dibalas terhadap kezalimannya. Begitu juga orang yang baik, yang sepatutnya mendapat balasan terhadap kebaikan.

Sebab itulah Allah S.W.T menyatakan bahawa syurga dan neraka itu wujud. Sebagai medan untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh orang yang jahat, dan membalas kebaikan yang dilakukan oleh orang yang baik. Allah S.W.T menggambarkan di dalam al-Quran;

الْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ لَا ظُلْمَ الْيَوْمَ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

“Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya.”

(Ghafir: 17)

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 1/12/2021

- Advertisement -