Layar gergasi Piala Malaysia semarak hubungan

- Advertisement -

KLUANG: Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Kawasan Kluang telah mengadakan tayangan layar gergasi siaran langsung Perlawanan Akhir Piala Malaysia Edisi Ke-100 di Restoran DS Maju, di sini sebentar tadi.

- Advertisement -

Pentas akhir menemukan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menentang Kuala Lumpur City dijadikan ruang menyuntik semangat kesukanan di samping mengeratkan hubungan ukhuwah sesama ahli PAS dan penyokong.

Pengerusi DACS Kluang, Mohamad Ikhwan Basaruddin berkata, pihaknya juga mahu meluaskan usaha dalam menjayakan program bersama masyarakat khusus dalam kalangan anak muda menerusi penganjuran ini.

“Kita (DACS) memahami keinginan anak muda Kluang yang ingin menyaksikan perlawanan akhir ini secara langsung. Namun, hanya 20,000 tiket sahaja dijual pada perlawanan akhir ini. 

“Maka sebagai alternatif DACS Kluang mengambil inisiatif untuk menayangkan perlawanan ini menerusi layar gergasi ini,” beritahu beliau.

Perlawanan yang berkesudahan keputusan 2-0 menyaksikan pasukan Kuala Lumpur City merangkul kembali kejayaan selaku Juara Piala Malaysia edisi ke-100 setelah menunggu 32 tahun sejak tahun 1989.

Sempena program santai ini, DACS Kluang turut memeriahkannya dengan acara cabutan bertuah berupa hamper makanan yang menceriakan suasana di tempat tayangan layar gergasi.

Turut hadir Ahli Majlis Zon Bandar Majlis Perbandaran Kluang, Khairul Anuar Ahmad Kamil serta Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kluang. – HARAKAHDAILY 30/11/2021

- Advertisement -