Kebolehpasaran graduan veterinar UMK 100 peratus

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Graduan Doktor Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencatatkan kebolehpasaran graduan pada kadar 100 peratus meliputi pelbagai bidang kepakaran veterinar sama ada di sektor kerajaan dan swasta.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah UMK, Prof Dr Mohd Rosli Mohamad berkata, kadar kebolehpasaran itu menunjukkan permintaan tinggi terhadap graduan bidang veterinar.

- Advertisement -

Menurutnya, bidang terbabit jelas mempunyai jaminan pekerjaan, yang mana pada  tahun ini UMK melahirkan seramai 45 graduan Doktor Perubatan Veterinar.

“Sejak tahun 2014 sehingga kini UMK berjaya mengeluarkan seramai 313 doktor perubatan Veterinar.

“Mereka sekarang menabur jasa di sektor kerajaan, badan berkanun dan swasta dalam bidang perubatan veterinar,” katanya pada ucapan aluan sempena Majlis Ikrar dan Pendaftaran Ikhtisas Kedoktoran Veterinar serta Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar FPV di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, semalam.

Mohd Rosli juga berkata, kejayaan itu bertepatan dengan moto UMK, ‘Entrepreneurship is our thrust’ transformative, entrepreneurial, excellent‘.

Tambah beliau,  kejayaan itu membuka peluang kepada alumni menceburi bidang perniagaan yang merangkumi bidang perubatan veterinar seperti klinik dan ladang, serta bidang bukan veterinar seperti perniagaan hartanah dan kecantikan.

“Terdapat juga sebahagian daripada alumni UMK menabur khidmat bakti dengan menjadi tenaga pengajar di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dalam kepakaran masing-masing,” ujarnya. 

UMK juga menurutnya lagi,  akan membina Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar di Kampus Bachok di kawasan seluas 36 ekar dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2024.

Sementara itu pada majlis tersebut seramai 45 graduan FPV UMK diisytihar sebagai ahli Ikhtisas Kedoktoran Veterinar Malaysia diumumkan oleh Pendaftar Majlis Veterinar Malaysia (MVM), Dr Akma Ngah Hamid. – HARAKAHDAILY 1/11/2021

- Advertisement -