Fasa satu projek tebatan banjir Sungai Golok dijangka siap 2024

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Usaha menangani masalah banjir Sungai Golok melalui fasa satu Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok membabitkan kos RM656 juta, dijangka siap pada suku ketiga tahun 2024.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata setakat November lalu, kemajuan keseluruhan fizikal kerja sebenar di tapak mencapai 44 peratus, berbanding mengikut jadual sebanyak 23 peratus.

- Advertisement -

Katanya, pelaksanaan fasa satu projek itu membabitkan beberapa skop, iaitu pembinaan pintu air Kuala Jambu yang telah siap sepenuhnya, manakala pembinaan ban banjir Sungai Lanchang Lemal (bahagian hilir) siap 98 peratus dan bahagian hulu siap 95 peratus.

“Bagi pembinaan ban banjir Sungai Golok pula siap 20 peratus, manakala pembinaan ban banjir Sungai Mentua belum bermula,” katanya menjawab soalan lisan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fadhli meminta kerajaan menyatakan perkembangan terkini projek pembinaan tebatan banjir di tepi Sungai Golok melibatkan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand.

Tuan Ibrahim berkata, fasa dua projek itu pula menerima peruntukan RM465 juta meliputi 12 komponen besar yang melibatkan kerja ukur, pengambilan tanah serta pengurusan projek bagi pembinaan ban di kawasan berkenaan.

Katanya, ini membabitkan pembinaan tembok banjir Rantau Panjang sepanjang 2.5 kilometer, pembinaan ban banjir Sungai Golok dari Kampung Lanchang ke sempadan jajahan Pasir Mas iaitu Kampung Limau Purut, pembinaan ban banjir Sungai Lanchang dan pembinaan ban banjir antara Kampung Limau Purut Pasir Mas hingga Air Lanas di Jeli.

“Turut dilaksanakan ialah pembinaan ban banjir Alor Mengkuang, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Meranti dan menaik taraf kolam takungan Tok Uban dan penambahbaikan Sungai Jedok dan Sungai Lanas,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/12/2021

- Advertisement -