Usahawan pasca pandemik perlu dibantu bangkit kembali

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kini berdepan pelbagai cabaran yang besar untuk bangkit kembali selepas melalui tempoh pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, berkata tahun lalu sahaja sebanyak 104,784 PMKS tidak dapat bertahan dan terpaksa gulung tikar, manakala tahun ini sebanyak 37,415 PMKS.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan supaya membantu PMKS supaya lebih bertahan melalui pelbagai inisiatif seperti Pemulihan Perniagaan Mikro 2.0 (CBRM 2.0) di bawah TEKUN, Skim Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) BRFlex-i di bawah Bank Rakyat serta projek menjadi usahawan berjaya ‘Be Your Own Boss’ (BYOB) di bawah Pernas.

“Saya minta kerajaan supaya menjelaskan jumlah pembiayaan yang disalurkan kepada PMKS di bawah setiap program skim pembiayaan,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Abdullah juga meminta kerajaan menerangkan sejauh mana inisiatif berkenaan berjaya mencapai sasaran untuk membantu PMKS bangkit semula pasca pandemik dan sama ada wujud perancangan untuk memperluaskan program ini bagi membantu lebih banyak PMKS yang terjejas.

Sementara itu, beliau turut menyentuh Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang dilaksanakan di seluruh negara sejak enam tahun lalu yang difahamkan berjaya melahirkan kira-kira 5,000 usahawan.

“Soalan saya, apakah program TUBE turut memberikan tumpuan kepada platform perniagaan dalam talian selaras dengan dasar digitalisasi perniagaan oleh kerajaan.

“Apakah kementerian menyediakan suatu mekanisme pemantauan terhadap alumni TUBE, sama ada masih berada dalam bidang keusahawanan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau ingin tahu sama ada kementerian berhasrat menjadikan alumni yang berjaya sebagai Ikon TUBE pada masa akan datang, sekali gus menjadi penanda aras terhadap kejayaan TUBE,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/2021

- Advertisement -