Tujuh dekad perjuangan PAS membumikan gerak kerja kebajikan

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

PAS telah melepasi 70 tahun di medan operasi masyarakat dengan rangkuman sayapnya menjangkaui sektor siasah, dakwah dan tarbiah negara ini. Keberadaan PAS sangat dirasai oleh massa dalam tiga segmen ini malah inilah relevansi PAS sebagai pemain utama politik negara ini, malah menempa nama di persada antarabangsa. Harakatul ummah ini sinonim dengan gerak kerja kebajikan, singgah di dalam hati masyarakat melalui kebajikan yang bersalut gerak kerja dakwah. Sosok pimpinan PAS sentiasa berada di lapangan kebajikan, menyantuni masyarakat tanpa menunggu tempoh pilihan raya ataupun menjadi pelakon sinetron khas apabila adanya pemilihan parti mahu pun pilihan raya.

Diakui lawan dan kawan, dalam guratan wajah ceria atau cemberut, diakui bahawa harakatul ummah ini mempunyai organisasi yang tersusun, manhaj perkaderan yang sistematik, tarbiah nizomi yang berpakej lengkap daripada pra sekolah sehinggalah peringkat pengajian tinggi. PAS dengan  lebih sejuta keahlian dan dua juta penyokong adalah aset PAS yang paling berharga, mereka berdisiplin serta sanggup berkorban bagi mencapai aspirasi perjuangan Islam. Di mana-mana sahaja amilin PAS akan muncul jika ada bencana alam atau pun tragedi, bukan sahaja di dalam negara ini malah juga mengucur keringat di luar negara.

Mengapa PAS terus relevan kepada masyarakat jembel walaupun telah mencecah tujuh dekad umurnya? Jawaban yang jujur adalah kerana parti Islam tertua ini sinonim dengan kerja kebajikan dan kemasyarakatan, rakyat tersentuh dengan petugas PAS saat mereka dalam kesusahan. PAS saat menang atau kalah, terus mengarusperdanakan gerak kerja kebajikan dalam harakatul ummah ini. Maka PAS terus diingati dalam minda sedar rakyat bahawa PAS ialah sekelompok manusia yang sentiasa muncul di saat kepayahan dan kejerihan.

- Advertisement -

Pimpinan serta amilin PAS hadir dengan senyuman bila berlakunya tragedi banjir, kebakaran, mengurus kematian, menyantuni sang miskin dan asnaf, membaiki premis dan rumah rakyat, memeriahkan kenduri, menziarahi yang uzur dan tenat juga menyediakan tabung pendidikan untuk yang memerlukan. Biar seluruh sektor masyarakat meletakkan PAS dalam jenama kebajikan yang sangat piawai. Pimpinan PAS memacu usaha membantu rakyat, memposisikan diri sebagai tokoh kebajikan dan peduli ummat.

PAS melalui sarana kebajikan memikul tangggungjawab yang besar akibat kehidupan rakyat semakin dijerut dengan kepayahan, penggangguran yang melata, krisis ekonomi akibat kesan pandemik Covid-19. Malah harakatul ummah ini sejak dekad 60-an lagi telah mempunyai mekanisme untuk membantu umat, di peringkat ranting (kini dipanggil cawangan), tabung kebajikan bersifat “one off” diwujudkan bagi membantu ahli jemaah yang memerlukan. Merangkumi pengurusan jenazah untuk ahli, tabung pendidikan tinggi untuk anak-anak ahli belajar di peringkat pengajian tinggi. Tak sedikit anak-anak ahli PAS belajar di negara luar dengan tabungan kebajikan PAS di peringkat ranting ini, contohnya ke Mesir, India, Mekah dan sebagainya.

Rakyat secara umumnya menilai sesebuah parti politik melalui gerak kerja kebajikan dan tawaran kebajikan yang ditawarkan oleh sesebuah entiti politik. PAS cukup menonjol dalam arena dakwah dan pencerahan ilmu, asatizah PAS menguasai masjid, surau, pelbagai wadah ilmu. Begitu juga dalam bidang pendidikan, seterusnya menggilap lagi pengupayaan PAS dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan.

PAS telah jauh meninggalkan gerakan Islam antarabangsa yang lain, berdepan dengan pasang surut perjuangan, perpecahan dalaman, dimatangkan dengan mehnah sepanjang hampir tujuh dekad berjuang. PAS membias sinarnya kepada rakyat melalui kerja kebajikan, begitu juga gerakan Islam antarabangsa yang menonjol dalam gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan. Jamiat Islami contohnya, mempunyai pelbagai jaringan sivil untuk menebarkan kepedulian dan gerak kerja kebajikan, antaranya PIMA, Pasban, masjid mision dan lain-lain lagi.

Gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin walaupun mengalami kekangan yang hebat, juga bergerak melalui jaringan sivil, menggerakkan NGO dalam pelbagai tugasan. Pertubuhan Milli Guruz yang diasaskan oleh almarhum Prof Dr Najmuddin Erbakan dengan pelbagai NGO kebajikan membantu ummat di peta luka umat Islam di benua Afrika, sub continent juga membantu umat Islam di benua Eropah.

PAS dengan sebanjaran pengalaman emas juga perlu membina visi, merancang, melaksana, memantau dan mengambil tindakan segera dalam apa jua isu kebajikan rakyat. Contohnya, dalam minggu ini rakyat Malaysia gelisah dengan kenaikan harga barang yang melampau, duka bertindih rakyat menyebabkan suhu politik membahang panas. Ratusan NGO kolaborasi PAS wajar memikirkan mekanisme membantu rakyat dilapangan, manakala PAS sebagai rakan pemuafakatan politik dalam pentadbiran Persekutuan boleh memberikan idea serta solusi untuk memastikan harga barangan keperluan dapat dikawal oleh pihak kerajaan. – HARAKAHDAILY 30/11/2021

Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -