SKMM sekat 4,068 laman pornografi

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat sebanyak 4,068 laman pornografi antara tahun 2018 sehingga 30 September lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata SKMM akan meneruskan usaha ini berasaskan aduan yang diterima serta pemantauan proaktif yang dijalankan.

- Advertisement -

Bagi kesalahan pornografi dalam talian yang melibatkan kanak-kanak, katanya SKMM sentiasa menjalinkan kerjasama baik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Interpol di peringkat antarabangsa.

Katanya, ini membolehkan operasi penguatkuasaan secara bersama, termasuk dari segi penguatkuasaan dan tindakan sekatan terhadap kandungan atau laman sesawang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak.

“Bagi tempoh antara tahun 2015 sehingga 30 September lalu, sebanyak 407 laman berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak disekat melalui kerjasama SKMM, PDRM dan Interpol,” katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang meminta menyatakan langkah membendung adegan seksual dan kandungan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam program yang disiarkan menerusi perkhidmatan penstriman dalam talian seperti Netflix.

Annuar berkata, penarafan filem dan rancangan televisyen yang dilakukan oleh syarikat penyedia perkhidmatan penstriman video luar negara seperti Netflix dijalankan secara kendiri dan ditetapkan oleh piawaian pertubuhan yang berada di bawah setiap peringkat kematangan Netflix berbeza mengikut wilayah, negara dan rantau.

Di Malaysia, katanya Netflix secara umum menggunakan penarafan televisyen dan filem berdasarkan kanak-kanak (7 tahun ke atas), remaja (13 tahun ke atas) dan dewasa (16 dan 18 tahun ke atas).

“Netflix turut menyediakan khidmat kawalan ibu bapa bagi mengupayakan golongan ibu bapa atau penjaga dalam mengawal selia penggunaan platform tersebut oleh anak-anak mereka.

“Ia berfungsi dengan sesetengah kandungan seperti filem yang ditarafkan sebagai remaja dan dewasa dapat disekat daripada ditonton, dengan kata laluan yang ditetapkan oleh ibu bapa dan penjaga,” katanya.

Beliau berkata, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain bagi membuat, mewujudkan, meminta-minta, dan memulakan penghantaran kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam, dan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Jika disabit kesalahan, katanya individu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/2021

- Advertisement -